Siaran menyasarkan Pfizer dengan tuntutan keliru tentang ujian percubaan vaksin Covid

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Dakwaan viral bahawa seorang eksekutif Pfizer kononnya "mengakui kepada Parlimen Eropah" pada Oktober 2022 bahawa vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu belum diuji untuk menghentikan penularan koronavirus mengetepikan butiran penting tentang ujian klinikal untuk vaksin itu. Maklumat ini bukanlah baharu seperti yang didakwa oleh siaran yang mengelirukan. Ia telah dilaporkan secara terbuka oleh syarikat, agensi kesihatan dan pelbagai media berita sejak Disember 2020. Ujian klinikal Pfizer direka untuk mengukur keberkesanan vaksinnya dalam mencegah penyakit Covid-19 yang teruk -- bukan mencegah penularan virus, yang sulit diukur, seperti para saintis katakan pada AFP.

Satu video dikongsi pada 12 Oktober 2022 di Facebook di sini, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 230 kali.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Akhirnya Pfizer di Parlimen EU mengaku vaksin dorang bukan untuk menghentikan virus covid dari merebak. Saya yg dapat 2 dos Pfizer rasa geram entah benda apa yg dorang cucuk kat dlm badan ni. Nasib baik tak amik booster walau dpt msg dari KKM banyak kali suruh amik booster."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 2 November 2022

Video berdurasi dua minit pada asalnya disiarkan di Twitter pada 11 Oktober 2022 oleh Robert Roos, ahli Parlimen Eropah dari Belanda.

Video ciapan Roos -- yang telah ditonton lebih daripada 13 juta kali -- ialah sedutan dari rakaman pendengaran jawatankuasa khas Parlimen Eropah pada 10 Oktober 2022.

Dalam klip itu, Roos bertanya kepada eksekutif Pfizer, Janine Small: "Adakah vaksin Pfizer Covid diuji untuk menghentikan penularan virus sebelum ia memasuki pasaran?"

Small menjawab: "Adakah kita tahu sama ada vaksin memungkinkan untuk menghentikan imunisasi sebelum pemasarannya? Tidak".

Penggunaan perkataan "imunisasi" -- dan bukannya "penularan" -- adalah kesilapan Small, kata perkhidmatan komunikasi makmal Pfizer-BioNTech kepada AFP dalam e-mel pada 14 Oktober 2022.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Cik Small ingin mengatakan 'penularan'. Namun begitu, intipati apa yang dia maksudkan tetap sama," kata mereka.

Video itu telah ditonton lebih daripada 520 kali setelah beredar dengan dakwaan serupa di sini, di sini, di sini dan di sini.

Siaran serupa juga beredar dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Thai, bahasa Sepanyol, bahasa Croatia, bahasa Jerman dan bahasa Finland.

Tetapi jawapan Pfizer semasa pendengaran jawatankuasa bukanlah "pengakuan" seperti yang didakwa oleh pelbagai catatan kerana maklumat itu telah dilaporkan secara terbuka sejak 2020.

Bukan maklumat baharu

Maklumat bahawa vaksin Covid-19 Pfizer tidak diuji untuk menghentikan penularan telah dimasukkan dalam laporan yang diterbitkan pada 10 Disember 2020 oleh FDA, atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS.

Dokumen FDA itu, yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, menangani persoalan penularan pada halaman 48 di bawah bahagian bertajuk: "Keberkesanan vaksin terhadap penularan SARS-CoV-2".

Dokumen itu menyatakan: "Data adalah terhad untuk menilai kesan vaksin terhadap penularan SARS-CoV-2 daripada individu yang dijangkiti walaupun menerima vaksinasi.

"Keberkesanan tinggi yang ditunjukkan terhadap Covid-19 yang bergejala boleh bererti pencegahan penularan keseluruhan dalam populasi yang telah mencapai kadar vaksinasi yang cukup tinggi ...

"Penilaian tambahan termasuk data dari percubaan klinikal dan dari penggunaan vaksin selepas kebenaran akan diperlukan untuk menilai keberkesanan vaksin dalam mencegah penumpahan dan penularan virus, terutama pada individu dengan jangkitan tanpa gejala."

Tangkapan skrin diambil dari laman web FDA, diambil pada 17 Oktober 2022

Maklumat yang sama telah dilaporkan secara meluas oleh pelbagai organisasi media pada Disember 2020, termasuk AFP di sini.

Selepas dihubungi oleh AFP, makmal Pfizer-BioNTech berkata dalam e-mel pada 14 Oktober 2022 bahawa "percubaan klinikal fasa III (protokol yang diterbitkan pada November 2020)" tidak "direka untuk menilai keberkesanan vaksin terhadap penghantaran SARS-CoV -2."

Agensi Ubat Eropah (EMA) menjelaskan di laman webnya: "Apabila EMA pertama kali meluluskan vaksin, beberapa faedah mungkin masih tidak dipastikan. Faedahnya hanya menjadi lebih jelas selepas vaksin digunakan."

EMA juga menambahkan bahawa dari semasa ke semasa, pihak berkuasa kesihatan lebih dapat mengetahui "adakah vaksin itu dapat mengurangkan penularan virus dalam masyarakat. Mengurangkan penularan akan bergantung kepada banyak faktor, termasuk bilangan orang yang menerima vaksin."

Dalam dokumen bertarikh 19 Februari 2021, ujian klinikal vaksin Pfizer berkesimpulan: "Pada masa ini tidak diketahui jika vaksin melindungi daripada jangkitan tanpa gejala, atau kesannya terhadap penularan virus."

Ujian klinikal

Semasa percubaan klinikal, pengukuran kesan vaksin pada rantaian penularan adalah rumit, kata pakar kepada AFP. Penularan bergantung pada ramai faktor yang tidak semestinya boleh dihasilkan semula dalam percubaan klinikal.

“Percubaan melibatkan beberapa puluh ribu orang, dan pada masa itu tiada peredaran virus dengan strain asal. Vaksin telah menghalang banyak jangkitan berbanding plasebo, jadi kami akan mempunyai sangat sedikit orang yang dijangkiti walaupun telah divaksinasi. Kemudian, kita masih perlu mengikuti mereka supaya boleh diketahui apakah ada daripada mereka mungkin menjangkiti orang lain yang tidak semestinya termasuk dalam ujian klinikal, hal ini sangat rumit untuk diobjektifkan," kata Antoine Flahault, pakar epidemiologi dan pengarah Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, pada 13 Oktober 2022.

"Pakar ingin mendapatkan kriteria yang kukuh, ini diukur dengan melihat kesan vaksin terhadap kematian dan kemasukan ke hospital, dan bukan daripada model penularan," katanya menyimpulkan.

Keputusan percubaan klinikal berskala besar Pfizer -- dijalankan ke atas beberapa ribu sukarelawan -- diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada Disember 2020. Percubaan itu mendapati vaksin itu berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 yang teruk.

Beberapa pakar memberitahu AFP matlamat ujian klinikal selama ini ialah pengukuran keberkesanan suntikan Pfizer terhadap jangkitan teruk Covid-19 -- bukan menghentikan penularan.

"Memang lebih baik sekiranya vaksin ini juga boleh dibuktikan berkesan atas penularan, tetapi itu bukan matlamat penghasilan vaksin semasa peringkat ujian klinikal," kata Yves Buisson, ahli epidemiologi di Akademi Perubatan Kebangsaan Perancis, kepada AFP pada 13 Oktober 2022.

Vaksin yang berkesan

Hasil percubaan klinikal fasa III vaksin Pfizer-BioNTech (yang dijalankan ke atas kira-kira 44,000 orang) juga diperincikan dalam dokumen FDA bertarikh 10 Disember 2020 ini.

Pada halaman 46 dinyatakan bahawa antara "faedah yang diketahui" produk ialah "pengurangan risiko Covid-19 yang disahkan sekurang-kurangnya 7 hari selepas dos kedua" serta "selepas dos pertama dan sebelum dos kedua".

Dokumen itu juga menyatakan bahawa "pengurangan risiko Covid-19 yang teruk disahkan selepas dos pertama" vaksin itu.

Keberkesanan terhadap bentuk penyakit yang teruk -- yang telah dicadangkan dengan kuat dalam keputusan ujian klinikal -- kemudiannya disahkan semasa kempen vaksinasi di seluruh dunia, seperti yang dijelaskan oleh beberapa pakar kepada AFP dalam konteks penyiasatan pengesahan sebelumnya.

Beberapa kajian ( 1 , 2 , 3 ) data yang menganalisa kempen vaksinasi -- khususnya di UK dan Israel -- menunjukkan bahawa vaksin Covid bukan sahaja menunjukkan keberkesanan terhadap bentuk penyakit yang teruk dan bergejala tetapi juga telah mengurangkan risiko jangkitan strain asal.

VAKSIN COVID-19