Siaran keliru salah tafsir dokumen Pfizer, WHO, kaitkan hantavirus dengan vaksin Covid

Penularan hantavirus di sebuah kapal persiaran mencetuskan semula maklumat salah berkaitan konspirasi Covid, apabila siaran di media sosial berkongsi fail-fail Pfizer dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai bukti bahawa hantavirus merupakan "kesan sampingan" vaksin. Dokumen pertama menunjukkan senarai pratakrif kes perubatan yang memerlukan pemantauan rapi, manakala yang kedua menyenaraikan keadaan yang dilaporkan selepas vaksinasi tetapi tidak terbukti berpunca daripada suntikan. Vaksin Covid-19 mRNA Pfizer tidak mengandungi virus hidup dan tidak boleh memindahkan jangkitan seperti hantavirus, kata pakar kepada AFP.

"Oh rupanya Hantavirus ni salah satu side effect dalam beksin Faizer. Tak perlu RISAU. Beksin Hantavirus pun dah siap dah," tulis kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 9 Mei 2026.

Siaran itu turut memuat naik satu tangkapan skrin siaran berbahasa Inggeris yang menyatakan: "Hantavirus disenaraikan dalam dokumen Pfizer setebal 38 muka surat. Halaman 33. Ia merupakan salah satu daripada 1,233 kesan sampingan yang disenaraikan. Jadi sekarang vaksin COVID akan berubah menjadi virus?"

Ia juga berkongsi satu gambar botol bebuli Pfizer Covid-19 bersebelahan tangkapan skrin dokumen bahasa Sepanyol berbunyi "infeccion pulmonar por hantavirus" -- bermaksud "jangkitan paru-paru hantavirus". 

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan diambil pada 22 Mei 2026 dengan X jingga ditambah AFP

Dakwaan serupa turut tersebar di Facebook dan Instagram serta dalam pelbagai bahasa -- termasuk bahasa Inggeris dan Sepanyol -- susulan wabak jangkitan hantavirus yang dilapor melibatkan sebuah kapal persiaran MV Hondius dalam perjalanan dari Argentina ke Cape Verde (pautan arkib).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiga orang mangsa meninggal manakala 10 kes telah dilaporkan setakat 15 Mei (pautan arkib).

Semua kes yang diketahui melibatkan mereka yang berada di atas kapal berbendera Belanda dengan WHO berkata risiko kepada populasi umum adalah "sangat rendah" (pautan arkib di sini dan di sini).

Namun begitu, wabak itu telah mencetuskan semula teori-teori konspirasi lama tentang vaksin yang tersebar luas semasa wabak koronavirus (pautan arkib).

Dakwaan tentang hantavirus sebagai kesan sampingan vaksinasi itu juga mengelirukan.

Jangkitan hantavirus

Suntikan mRNA Pfizer untuk Covid "tidak mengandungi virus hidup atau tidak aktif dan oleh itu tidak boleh memindahkan sebarang jenis jangkitan virus", Dr Wilson Lam Wai-shun, presiden Persatuan Penyakit Berjangkit Hong Kong, memberitahu AFP pada 14 Mei.

Stefan Vieths, presiden Institut Paul Ehrlich secara berasingan berkata pada 11 Mei agensi perubatan persekutuan Jerman "tidak mengetahui sebarang mekanisme di mana vaksin mRNA yang telah diluluskan boleh mencetuskan jangkitan hantavirus".

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa vaksinasi Covid-19 melemahkan sistem imun atau menjadikan individu lebih terdedah kepada jangkitan virus lain."

Menurut WHO, orang ramai biasanya dijangkiti hantavirus melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti atau air kencing, najis atau air liur haiwan itu (pautan arkib).

Lapan kes daripada penularan virus di kapal MV Hondius itu merupakan jangkitan yang disahkan oleh makmal melibatkan virus Andes, satu-satunya strain yang diketahui menyebabkan "penularan terhad dari manusia ke manusia dalam kalangan kenalan rapat dan berpanjangan".

Virus Andes kebanyakannya ditemui di Argentina dan Chile, tambah agensi itu. Ketika ini tiada vaksin atau rawatan khusus untuk penyakit itu.

Image
Infografik simptom dan penularan sindrom kardiopulmonari hantavirus (AFP / Nicholas SHEARMAN)

Dokumen salah nyata

Selain itu, carian kata kunci di Google mendapati laporan Pfizer yang dikongsi dalam talian itu telah diterbitkan di laman sesawang sebuah NGO -- Public Health and Medical Professionals for Transparency (pautan arkib).

Organisasi itu memfailkan permintaan Akta Kebebasan Maklumat dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS pada 2021 untuk mengakses data yang digunakan untuk meluluskan vaksin Pfizer (pautan arkib).

"Jangkitan paru-paru hantavirus" sememangnya disebut pada halaman ke-33 dokumen itu -- bersama ratusan penyakit lain -- di bawah "kesan-kesan sampingan berkepentingan khas".

Bagaimanapun, lampiran itu menunjukkan senarai pratakrif kes-kes perubatan yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa kawal selia dan kumpulan pakar untuk pemantauan yang lebih rapi, menurut seorang jurucakap Pfizer.

Nota dalam laporan penuh itu, yang tidak termasuk dalam siaran dalam talian tular itu, menyatakan bahawa senarai itu "tidak semestinya menunjukkan" suntikan itu menyebabkan kesan sampingan.

"Sebaliknya, kes itu mungkin disebabkan oleh penyakit tersirat atau beberapa faktor lain seperti sejarah perubatan yang lalu atau ubat merangkap."

Jurucakap Pfizer memberitahu AFP pada 8 Mei dokumen itu adalah sahih, sambil menambah senarai keadaan itu telah dikumpulkan untuk "kelengkapan dan ketelusan".

Sementara itu, pangkalan data VigiAccess WHO menyatakan maklumat yang diterbitkannya berkaitan dengan gejala "yang dipantau berikutan penggunaan produk perubatan" -- tetapi mungkin atau mungkin tidak disebabkan olehnya.

Selain keadaan perubatan, item lain dalam senarai itu termasuklah "gigitan haiwan", "hampir lemas" dan "luka tembakan".

Vieths dari Institut Paul Ehrlich berkata tujuan sistem pelaporan adalah untuk "memudahkan pengesanan awal tanda-tanda yang berpotensi mengenai kesan sampingan buruk".

"Sekiranya tanda risiko dikenal pasti, siasatan lanjut dijalankan untuk menentukan sama ada tindak balas yang dilaporkan itu adalah, sebenarnya, kesan buruk yang disebabkan oleh ubat."

Reaksi serius terhadap vaksin Covid adalah "sangat jarang", kata WHO, memetik data yang dikumpul daripada berbilion dos yang dikawal secara global (pautan arkib).

Lebih banyak laporan AFP mengenai maklumat salah vaksin boleh dibaca di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami