Siaran palsu mendakwa 'Tealive telah disahkan haram oleh JAKIM'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 23/02/2023 pukul 10:09
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Syafique SHUIB, AFP Malaysia
Siaran Facebook mengedarkan dakwaan palsu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengisytiharkan rantaian kedai bubble tea Tealive adalah "haram". Menurut dakwaan, khabar tersebut datang dari Ustaz Zahazan Mohamed. Tealive dan JAKIM kedua-duanya secara berasingan mengesahkan bahawa syarikat itu memegang sijil rasmi halal. Ustaz Zahazan juga menafikan bahawa dia membuat dakwaan palsu, yang telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya 2019.

Tuntutan palsu telah dikongsi di sini di Facebook pada 8 Februari 2023.

Ia berbunyi: "Bye bye Tealive.. Tealive TELAH DISAHKAN HARAM! Oleh JAKIM Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Semua Chocolate, Vanilla Dan Coffee Drinks Kat Tealive Contains E471 (Emulsifier 471), Mono Diglycefi Deswhich Dr Animal Origin (Pork). Respberry Frap Guna Cherries Yang Dicelop Dalam Arak Amp; The Tiramisu Ada RUM. Tolong Sebarkan Kat Umat Islam.

"Untk info lanjut hubungi JAKIM 03-8886 4000
MESTI SEBARKAN. Assalamualaikum. Daripada Dr. Zahazan Mohammad (TBSB): Harap anda tidak membiarkan msg ini berhenti pada inbox anda shja.

"Wallahualam
Harap maklum .."

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 20 Februari 2023

Tuntutan serupa juga muncul di Facebook di sini, di sini dan di sini; dan di Twitter di sini.

Siaran palsu yang serupa dikongsi dalam talian selama bertahun-tahun: pada 2021 dan 2020 , bahkan pada 2019.

Disahkan halal

Kafe Tealive tak hanya menyajikan bubble tea tapi juga makanan panas dan snek lainnya. Seperti ditunjukkan menunya, ia tidak menjual sebarang produk daging babi.

Tealive memberitahu AFP bahawa ia menyedari tentang siaran palsu yang disebarkan mengenai status halalnya dan bahawa "tuduhan itu benar-benar palsu".

Ia turut merujuk AFP kepada kenyataan JAKIM yang dimuat naik di Facebook pada 17 Oktober 2021, yang mengesahkan status halal Tealive.

"Pihak kami kembali menerima banyak pertanyaan berkaitan status halal premis makanan Tealive. Seperti biasa.. ianya tular berulang dan telah dijelaskan oleh pihak kami sejak tahun 2019," kata kenyataan JAKIM itu.

Sebelumnya, JAKIM juga mengeluarkan kenyataan pada 5 September 2019, yang sebahagiannya berbunyi: "Untuk makluman, tular yang diubahsuai oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut adalah TIDAK BENAR. Kami menegaskan bahawa premis makanan Tealive yang diusahakan oleh syarikat Loob Integrated Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah."

JAKIM mengesahkan dengan AFP bahawa, sehingga Februari 2023, Tealive memegang sijil halal yang sah dan syarikat itu disenaraikan dalam direktori Halal Malaysia JAKIM.

Di bawah ialah tangkapan skrin daripada laman web Portal Rasmi Halal Malaysia, yang menunjukkan Tealive -- melalui syarikat induknya, Loob Integrated Sdn Bhd -- mempunyai pensijilan halal yang sah:

Image
Tangkapan skrin daripada laman web Portal Rasmi Halal Malaysia, yang menunjukkan Tealive mempunyai pensijilan halal yang sah

Di laman Facebook rasminya, Ustaz Zahazan Mohamed turut menolak dakwaan itu pada 3 Februari 2023.

“Saya telah membuat beberapa laporan polis berkaitan isu ini bagi menjaga nama baik saya bahawa saya tidak pernah men'haram'kan minuman-minuman ini,” tulis beliau.

Nama Zahazan juga digunakan dalam catatan media sosial yang menyebarkan dakwaan salah bahawa Starbucks telah disahkan haram oleh JAKIM -- yang telah dibongkar oleh AFP di sini.

AFP juga menyemak fakta maklumat salah serupa yang menyasarkan status halal produk makanan antarabangsa lain -- daripada Coca-Cola hingga Ajinomoto -- di Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami