Pakar sangkal dakwaan minum air pada waktu tertentu punya pelbagai manfaat kesihatan

Sebuah catatan yang dikongsi di pelbagai media sosial mengandungi dakwaan mengelirukan bahawa meminum air pada masa tertentu boleh membawa pelbagai manfaat kesihatan, seperti menurunkan tekanan darah dan mencegah serangan jantung atau strok. Pakar kesihatan mengatakan tidak ada bukti yang mencukupi untuk dakwaan ini.

Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 2 Oktober 2023.

Antara kapsyen catatan tersebut berbunyi: "Pagi ni dah minum berapa gelas air tu? nak maintain awet muda Air penting tau.."

Turut disertakan dengan catatan itu adalah sebuah infografik bertajuk "Minum Air Pada Waktu Yang Betul".

Menurut infografik itu, meminum dua gelas air setelah bangun tidur boleh membantu mengaktifkan organ dalaman, dan meminum segelas air: 30 minit sebelum makan boleh membantu penghadaman, sebelum mandi boleh membantu menurunkan tekanan darah, dan sebelum tidur boleh mengelakkan serangan angin ahmar, atau strok, dan serangan jantung.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 14 Oktober 2023

Dakwaan serupa dikongsi di Facebook di sini dan di sini; di Instagram; di X, sebelumnya bernama Twitter; dan catatan blog.

Catatan serupa juga muncul tidak hanya dalam bahasa Indonesia tapi juga dalam bahasa Inggeris bertahun-tahun sebelumnya di Filipina.

Bagaimanapun, dakwaan ini mengelirukan.

“Tiada ujian klinikal untuk menyokong dakwaan ini,” kata Dr. Nannette Rey, pakar perubatan dalaman dan kardiologi yang sebelum ini berkhidmat sebagai presiden Philippine Heart Association, dalam e-mel kepada AFP pada 27 Februari 2020 (pautan arkib ini dan ini).

Dakwaan itu "sebenarnya berpunca daripada faedah air yang diketahui tetapi diekstrapolasi dan diteruskan sebagai cadangan klinikal, padahal satu-satunya cadangan ialah minum cecair yang mencukupi," kata Rey.

Menurut Rey, perkara penting untuk disyorkan "adalah untuk memastikan diri anda terhidrat sepanjang hari untuk fungsi badan yang penting."

Selain itu, Dr. Ranulfo Javelosa Jr., pakar kardiologi di Philippine Heart Centre di Manila, juga memberitahu AFP bahawa dakwaan itu adalah "mitos perubatan" (pautan arkib).

Dalam temu bual dengan AFP pada hari yang sama, Javelosa berkata bahawa penyakit jantung sering timbul daripada gabungan faktor termasuk "kolesterol, gula, tekanan dan merokok".

"Jika anda mengurangkan perkara itu, anda boleh mengurangkan risiko serangan jantung," katanya, "minum segelas air tidak akan mengubah semua itu."

Sebelum ini, AFP juga telah menafikan maklumat salah mengenai tuntutan air minuman di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami