Ini video letupan di stesen minyak pada 2023, bukan 'serangan AS, UK di Yaman pada 2024'

Satu video lama telah ditonton ratusan ribu kali selepas dikongsi dengan dakwaan palsu palsu bahawa ia menunjukkan serangan AS dan Britain di Yaman pada Januari 2024. Siaran itu beredar selepas tentera AS dan Britain melancarkan serangan terhadap kumpulan Houthi di negara tersebut. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan kejadian letupan pada September 2023 di sebuah stesen minyak di Sanaa. Menurut laporan berita, letupan itu berkemungkinan besar disebabkan oleh litar pintas elektrik.

Video yang menunjukkan letupan pada waktu malam itu dimuat naik di Facebook pada 12 Januari 2024.

"Negara Yaman diserang hari ini pukul 7.30 pagi jumaat 12/1/2024 waktu Malaysia," bunyi sebahagian kapsyen siaran itu.

"Serangan udara US-UK menyasarkan beberapa bandar di Yaman iaitu: Sana’a, Hodeidah, Saada, Dhamar, Taiz, Zabid."

Klip berdurasi 14 saat itu telah ditonton lebih daripada 100 kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 30 Januari 2024

Siaran itu dikongsi tidak lama selepas tentera AS dan Britain melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap kumpulan Houthi pada 11 Januari 2024 di Yaman, dengan sasaran bukan sahaja ibu kota Sanaa tapi juga kawasan lain di negara itu.

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, dan perang Israel di Gaza sebagai tindak balas, pemberontak Houthi telah meningkatkan serangan mereka terhadap trafik maritim antarabangsa di Laut Merah, yang menjadi laluan biasa bagi 12 peratus daripada perdagangan perkapalan global. Kumpulan Houthi -- yang menguasai sebahagian besar wilayah Yaman sejak perang saudara meletus pada 2014 -- mendakwa serangan mereka sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Video itu telah ditonton lebih daripada 231,000 kali selepas ia dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook di sini,  di TikTok di sini dan di Instagram di sini.

Catatan serupa juga diedarkan dalam bahasa Indonesia, bahasa Arab dan bahasa Inggeris

Letupan di stesen minyak

Carian imej terbalik di Google mendapati video sama telah dimuat naik pada saluran YouTube yang berpangkalan di Yaman pada 3 September 2023 -- beberapa bulan sebelum serangan terbaharu pada 2024 (pautan arkib).

"Satu letupan di stesen minyak Mufazer di Sanaa," tulis tajuk video dalam bahasa Arab itu.

Rakaman itu turut dikongsi di Facebook oleh seorang pengguna Yaman pada hari yang sama, dengan kapsyen mengatakan ia menunjukkan letupan di stesen minyak di Sanaa (pautan arkib).

Klip itu muncul dalam laporan video yang diterbitkan oleh Xinhua, agensi berita kerajaan China, pada 5 September 2023 (pautan arkib). Menurut laporan itu, rakaman menunjukkan "letupan besar di stesen minyak di ibu kota Yaman yang dikuasai Houthi".

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri), video tulen di YouTube (tengah) dan video tulen daripada laporan Xinhua (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri), video tulen di YouTube (tengah) dan video tulen daripada laporan Xinhua (kanan)

Satu lagi laporan Xinhua memetik kenyataan kumpulan Houthi, yang mengatakan bahawa "kebakaran itu berkemungkinan disebabkan oleh litar pintas elektrik di stesen terbabit, yang mencetuskan letupan treler tangki minyak di halaman stesen itu" (pautan arkib).

Kejadian letupan stesen minyak Muzafer itu turut dilaporkan oleh Yemen Press Agency, yang berpangkalan di Sanaa, pada 4 September 2023 (pautan arkib).

AFP telah menafikan maklumat salah yang lain tentang serangan AS-UK ke atas Yaman di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami