Video askar Israel merusuh ini dirakam sebelum perang di Gaza

  • Diterbitkan pada hari Selasa 30/01/2024 pukul 05:14
  • Dikemas kini pada hari Selasa 30/01/2024 pukul 05:33
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Selepas perang meletus antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober 2023, rakaman askar yang membuat kekacauan di pangkalan tentera muncul dalam siaran media sosial dengan dakwaan mengelirukan bahawa mereka merusuh untuk tidak dikerahkan ke sempadan Gaza. Kejadian itu sebenarnya berlaku sebelum perang bermula. Media Israel melaporkan pada September 2023 bahawa klip itu menunjukkan tentera yang terperangkap "kehangatan situasi" latihan fizikal dan melakukan vandalisme di pangkalan tentera.

"Video Skuad Komando Khas Israel, 'Unit Golani' memberontak dalam kem kerana tidak bersetuju untuk diletakkan di sempadan Gaza seperti dikerahkan oleh Kerajaan Haram israel," tulis teks yang ditindih pada video Facebook yang dikongsi pada 18 Oktober 2023.

"Mereka dikategorikan sebagai 'Unit Khas', TAPI mereka tetap Takut untuk berhadapan dengan tentera Al Qassam," teks selanjutnya berkata, merujuk kepada Briged Izzuddin Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.

Video yang telah ditonton lebih daripada 143,000 kali itu menunjukkan tentera menjerit, membaling tong dan terbalikkan meja.

Logo untuk Sky News Arabia berada di sudut kiri atas dan teks bahasa Arab terlihat sepanjang klip (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 26 Januari 2024

Video yang sama telah mendapat lebih daripada 299,000 tontonan selepas turut muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini, serta di TikTok berikutan serangan mengejut Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan itu mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi negara tersebut. Hamas turut merampas kira-kira 250 tebusan, sekitar 132 daripadanya, menurut Israel, masih kekal di Gaza.

Sebagai tindak balas, Israel telah melakukan serangan tanpa henti yang telah menewaskan lebih 26,600 rakyat Palestin, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita, kanak-kanak dan remaja, menurut angka dari kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas pada 29 Januari 2024.

Beberapa pengguna media sosial nampaknya percaya video itu menunjukkan tentera Israel merusuh menentang penempatan untuk berperang dalam perang.

"Takut kena hntr kat situ jd dorg mengamuk protes," komen seorang pengguna TikTok.

Seorang lagi menulis askar membantah "sbb unit lereka dikem sempdan gaza...diorg takut mati".

Image
Tangkapan skrin komen pengguna TikTok

Bagaimanapun, video itu dirakam sebelum perang.

Video latihan

Carian kata kunci dalam bahasa Arab menemui video yang disiarkan di halaman Facebook rasmi Sky News Arabia serta akaun X dan TikTok rasmi mereka pada 7 September 2023 -- sebulan sebelum serangan Hamas (pautan arkib iniini dan ini). 

Kapsyen berbahasa Arab video berdurasi 46 saat itu mengatakan ia menunjukkan tentera dari unit Golani di pangkalan tentera Israel semasa kursus latihan.

Di bawah ialah tangkapan skrin video tulen di akaun X milik Sky News Arabia: 

Image
Tangkapan skrin video tulen di akaun X milik Sky News Arabia

TRT World, stesen televisyen Turki, menyiarkan versi video yang lebih pendek pada X pada 9 September 2023 (pautan arkib).

"Video yang bocor menunjukkan askar Israel merusuh semasa sesi latihan Briged Golani Komando Utara, di mana askar yang menjalankan misi tempur bersenjata dilatih," kata kapsyen itu yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris. 

"Beberapa askar telah dimasukkan ke dalam penjara tentera, tetapi punca rusuhan tidak diketahui."

Petunjuk visual dalam rakaman menunjukkan ia menunjukkan tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dari Briged Golani.

Bendera berjalur kuning dan hijau Briged Golani kelihatan di pelbagai tempat dalam rakaman, manakala tentera boleh didengari menjerit "Ayuh!" dalam bahasa Ibrani (pautan arkib). 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar bendera Briged Golani di laman web IDF (kiri) dan bendera yang dilihat dalam video (tengah dan kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar bendera Briged Golani di laman web IDF (kiri) dan bendera yang dilihat dalam video (tengah dan kanan)

Carian kata kunci selanjutnya dalam bahasa Ibrani menemui video dalam laporan media Israel yang mengatakan rusuhan meletus pada 4 September 2023 semasa latihan fizikal.

Menurut laman web berita Walla, tentera sedang mengambil bahagian dalam sesi Krav Maga -- kaedah mempertahankan diri yang diilhamkan oleh tentera Israel -- apabila mereka terperangkap "dalam kehangatan situasi" dan mula merusuh dan merosakkan pangkalan tentera (pautan arkib).

Laman web berita Ynet memetik jurucakap Angkatan Pertahanan Israel berkata huru-hara bermula semasa latihan kecergasan fizikal dan tentera kemudiannya dikenakan tindakan disiplin (pautan arkib).

"Perlu diingat bahawa ini bukan sebarang bentuk protes oleh askar terhadap tentera, sebaliknya cubaan untuk memotivasikan askar untuk bersenam, yang dalam kehangatan situasi bertukar menjadi rusuhan yang tulen," tambah laporan Ynet.

AFP telah menafikan banyak maklumat salah tentang perang Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami