Video muncul dalam laporan tentang kapal terbakar di Oman, tiada kaitan dengan 'kapal tangki minyak UK diserang Houthi'

  • Diterbitkan pada hari Rabu 31/01/2024 pukul 08:28
  • Dikemas kini pada hari Rabu 31/01/2024 pukul 08:48
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Thailand, AFP Malaysia
  • Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Rakaman kapal terbakar telah ditonton ribuan kali selepas dikongsikan dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan kapal tangki minyak Britain terkena peluru berpandu di Laut Merah dekat Yaman pada Disember 2023. Siaran itu diedarkan di tengah-tengah serangan Houthi yang berterusan ke atas kapal komersial di wilayah itu. Sebenarnya, rakaman yang muncul di media sosial dan laporan berita itu adalah mengenai sebuah kapal menuju Somalia yang terbakar di perairan Oman.

"TERKINI 31/12/23 Kapal tangki minyak British dibakar di pantai Hodeidah Yaman dengan serangan peluru berpandu," tulis teks pelekat pada video berdurasi 10 saat yang dikongsi di TikTok pada 31 Disember 2023. 

Hodeidah, bandar pelabuhan Yaman di pesisir Laut Merah, dikuasai kumpulan pemberontak Houthi (pautan arkib ini dan ini). 

Klip yang menunjukkan sebuah kapal terbakar dengan kepulan asap hitam menjulang ke langit itu telah ditonton lebih daripada 1,300 kali.

Image
Tangkapan skrin catatan palsu, diambil pada 30 Januari 2024

Video itu disiarkan di tengah-tengah serangan Houthi ke atas banyak kapal komersial di Laut Merah, menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan yang merebak di rantau itu berikutan perang Gaza.

Pada November 2023, pemberontak Houthi -- yang menguasai sebahagian besar wilayah Yaman -- mula menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah yang mereka dakwa ada kaitan dengan Israel. Mereka katakan serangan maritim itu untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza, di mana tentera Israel memerangi Hamas.

Sekitar 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah, yang terletak antara barat daya Yaman dan Djibouti. Walau bagaimanapun, serangan pemberontak Houthi itu telah menyebabkan banyak perkapalan perlu menukar laluan perjalanan beribu kilometer lebih jauh mengelilingi Afrika.

Pada Januari 2024, Amerika Syarikat dan Britain melakukan berpuluh-puluh serangan menyasar Houthi, dengan alasan bahawa serangan mereka itu bertujuan "mengurangkan ketegangan". Bagaimanapun, Houthi berikrar untuk meneruskan serangan mereka dan memberi amaran bahawa kepentingan AS dan British adalah "sasaran yang sah".

Rakaman itu telah ditonton lebih daripada 8,300 kali selepas juga diedarkan dengan dakwaan serupa di TikTok di sini dan di sini, di Instagram di sini, serta di Facebook di sini dan di sini

Siaran serupa juga dikongsikan dalam bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Thai, bahasa Burma dan bahasa Indonesia

Rakaman itu juga muncul dalam laporan berbahasa Inggeris dari agensi berita Mehr dari Iran, yang mendakwa ia "menunjukkan kapal tangki British yang terkena serangan peluru berpandu tentera Yaman di sebelah barat daya pelabuhan Hodeidah, Yaman".

Namun, dakwaan itu adalah palsu. Video itu tidak menunjukkan kapal tangki minyak British terkena peluru berpandu di Laut Merah.

'Kebakaran kapal di Oman'

Pada bahagian bawah video dalam siaran palsu itu menunjukkan nama-nama akaun rasmi media sosial Polis Diraja Oman dan logo mereka (pautan arkib).

Carian imej terbalik, diikuti dengan carian kata kunci, mendapati video itu sebelumnya diterbitkan oleh Polis Diraja Oman di X pada 23 Disember 2023 (pautan arkib).

Kapsyen bahasa Arab itu berbunyi: "Sebuah bot terbakar di perairan wilayah Kesultanan Oman berhampiran Hasik di Gabenorat Dhofar. Bot itu membawa barang-barang menuju ke Somalia, dan 11 orang anak kapal India telah selamat dipindahkan oleh penduduk tempatan."

Dalam siaran itu, Polis Diraja Oman juga berkata "hanya seorang anak kapal mengalami kecederaan ringan".

Hasik terletak di pantai Laut Arab di Oman (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen yang disiarkan oleh Polis Diraja Oman (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen yang disiarkan oleh Polis Diraja Oman (kanan)

Surat akhbar tempatan Oman Observer dan Times of Oman melaporkan kejadian ini pada hari yang sama, menggunakan rakaman daripada Polis Diraja Oman serta tangkapan skrin daripada klip terbabit (pautan arkib ini dan ini).

AFP Semakan Fakta sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan serangan Houthi di Laut Merah, seperti ini dan ini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami