Siaran Facebook sasar minyak masak subsidi kerajaan dengan dakwaan 'tak halal'
- Diterbitkan pada hari Rabu 03/04/2024 pukul 08:47
- Dikemas kini pada hari Rabu 03/04/2024 pukul 08:57
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Minyak masak babi, non-halal bnyk dijual d kedai2 runcit. Hati2 smua," tulis sebahagian kapsyen catatan Facebook pada 12 Mac 2024.
Siaran yang telah dikongsi lebih 3,700 kali itu memuat naikkan satu imej peket minyak masak berjenama Nice Day dengan tulisan tangan "NON HALAL" pada peket.
Satu kilogram peket minyak masak, seperti yang ditunjukkan dalam imej, berharga hanya RM2.50 kerana disubsidi oleh kerajaan di bawah skim penstabilan harga (pautan arkib).
Imej itu telah dikongsi lebih daripada 400 kali dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.
Walaupun pembungkusan minyak masak Nice Day seperti yang ditunjukkan dalam siaran-siaran terbabit tidak mempunyai logo sijil halal, produk itu tidak mengandungi sebarang daging babi.
Peket minyak masak itu kini mempunyai logo sijil halal, selepas statusnya diperbaharui pada 16 Mac 2024.
Sijil halal diperbaharui
Seorang wakil daripada Sin Hock Soon Edible Oil Sdn Bhd, syarikat yang mengeluarkan Nice Day, memberitahu AFP bahawa peket produk itu tidak mempunyai logo halal selepas sijil halalnya tamat tempoh pada 15 Januari 2024.
Menurut syarikat itu, sijil telah diperbaharui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 16 Mac 2024 (pautan arkib).
Semakan pada pangkalan data Halal Malaysia menunjukkan pensijilan halal Sin Hock Soon Edible Oil Sdn Bhd sah sehingga Mac 2026 (pautan arkib ini dan ini).
Pada 26 Mac 2024, Sin Hock Soon Edible Oil Sdn Bhd memberikan AFP gambar-gambar pembungkusan Nice Day terkini, yang menunjukkan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM bercetak pada hadapan peket minyak masak.
Syarikat itu juga memberikan gambar bahagian belakang peket, menunjukkan minyak masak itu dibuat daripada minyak sawit -- bukan minyak babi.
Di bawah ialah gambar peket minyak masak Nice Day dari syarikat yang menunjukkan logo halal (kiri) dan senarai ramuan, yang dibesarkan oleh AFP (kanan):
AFP sebelum ini menyemak fakta dakwaan serupa terhadap jenama-jenama lain di Malaysia, termasuk syarikat minuman Yeo's, Starbucks dan Coca-Cola, produk perasa umami Ajinomoto dan jenama bubble tea Tealive.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami