Siaran media sosial menyamar sebagai skim Sumbangan Tunai Rahmah

Kementerian Kewangan memberi amaran kepada rakyat supaya tidak berkongsi butiran peribadi dengan akaun media sosial yang menyamar sebagai skim kerajaan Sumbangan Tunai Ramah (STR). Akaun palsu yang mula muncul pada Januari 2024 dan meraih puluhan ribu pengikut itu mengajak pengguna media sosial mengisi nama dan nombor telefon mereka ke sebuah laman web yang tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan. 

"TERKINI: PERMOHONAN BANTUAN TUNAI," tulis teks pada tangkapan skrin laman web yang disiarkan di TikTok pada 11 Februari 2024, di mana ia telah ditonton sebanyak 1,800 kali. 

"STR 2024. KINI TELAH DIBUKA UNTUK RAKYAT MALAYSIA," tambah teks itu, merujuk kepada inisiatif bantuan oleh kerajaan dikenali Sumbangan Tunai Rahmah, atau STR (pautan arkib).

Skim kerajaan itu memberikan warganegara Malaysia yang layak sehingga RM3,700 ($770) untuk membantu mereka berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Tangkapan skrin itu menunjukkan gambar Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bersama jata negara dan logo "Malaysia Madani".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 26 Februari 2024

Catatan serupa juga diedarkan di Facebook, serta di TikTok di sini dan di sini, di mana siaran itu telah mendapat jumlah lebih daripada 18,000 tontonan. 

Siaran tersebut mengajak pengguna media sosial menyemak status aplikasi STR mereka dengan mengklik satu pautan, samada pada siaran terbabit atau bio akaun itu, yang membawa kepada sebuah laman web yang meminta butiran peribadi.

Akaun Facebook yang menyamar itu mula mempromosikan penipuan itu pada Januari 2024; manakala akaun-akaun TikTok itu mula menyiarkan kandungan terbabit pada bulan berikutnya dan menarik lebih daripada 42,000 pengikut.

Laman penipuan

Kementerian Kewangan berkata dalam catatan yang disiarkan di laman Facebook rasminya bahawa siaran itu adalah "berita palsu", sambil mendedahkan tangkapan skrin dua akaun TikTok yang berkongsi penipuan itu, iaitu ini dan ini (pautan arkib).

"Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dan sahih," tulis kapsyen siaran itu pada 18 Februari, 2024.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Menteri Kewangan, diambil pada 27 Februari, 2024.

AFP mendapati laman web yang dipautkan pada siaran media sosial palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan Malaysia.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin laman web palsu (kiri) dan laman web rasmi skim STR (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin laman web palsu (kiri) dan laman web rasmi skim STR (kanan)

Anwar mengumumkan pada Oktober 2023 bahawa sembilan juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada STR pada tahun 2024 (pautan arkib).

Kerajaan mula membuat pembayaran STR Fasa 1 pada 29 Januari 2024, menurut Kementerian Kewangan (pautan arkib).

"Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan," kata kenyataan mereka di Facebook pada 26 Februari 2024. 

"Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR."

Dalam kenyataan itu, Kementerian Kewangan berkongsi dua pautan rasmi untuk rakyat Malaysia membuat semakan kelayakan bantuan itu iaitu ini dan ini (pautan arkib ini dan ini). 

AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain mengenai penipuan skim bantuan tunai di Malaysia di sini, di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami