Gambar kesan gempa bumi di Jepun ini diambil pada Januari 2024, bukan selepas bencana pada Ogos 2024

Gambar jalan raya yang rosak akibat gempa bumi pada Januari 2024 di Jepun dikongsi berulang kali dalam konteks yang mengelirukan di media sosial selepas gegaran 7.1 magnitud yang melanda negara itu pada Ogos. Jurucakap kerajaan Jepun berkata tiada gangguan kepada infrastruktur, termasuk elektrik, air dan telekomunikasi dilaporkan selepas bencana terbaharu itu.

Laman web Nabalu News yang berpangkalan di Sabah berkongsi imej itu dalam satu grafik berita disiarkan di Facebook pada 10 Ogos.

"Tiada rakyat Malaysia terkesan gempa bumi di Kepulauan Kyushu," bunyi sebahagian teks pada grafik berita, yang turut meletakkan tarikh "9 Ogos 2024" di sebelah kanan atas. 

Imej itu menunjukkan jalan raya dengan rekahan dan kenderaan terperangkap dalam retakan.

"Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bencana yang berlaku pada 4.33 petang waktu tempatan itu," tulis kapsyen siaran itu. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook mengelirukan, diambil pada 13 Ogos 2024

Siaran itu muncul selepas gegaran kuat 7.1 magnitud melanda selatan Jepun pada 8 Ogos, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera (pautan arkib).

Seorang jurucakap kerajaan berkata tiada gangguan kepada infrastruktur, termasuk elektrik, air dan telekomunikasi direkodkan (pautan arkib).

Agensi Meteorologi Jepun berkata negara itu perlu bersiap sedia untuk "gempa mega" yang mungkin berlanda pada masa akan datang dan boleh meragut ratusan ribu nyawa, sambil menegaskan bahawa amaran itu tidak menunjukkan gegaran besar akan berlaku.

Gambar sama turut dikongsi di laman web Nabalu News, akaun Instagram dan platform media sosial X.

Laman berita lain di Indonesia dan India juga menggunakan gambar yang sama di sini, di sini dan di sini menerusi laporan mereka tentang bencana terbaharu itu. 

Namun, gambar itu diambil selepas gempa bumi di Jepun pada Januari.

Gempa lama Jepun

Carian imej terbalik di Google menemui satu gambar dalam arkib agensi berita The Associated Press (AP) (pautan arkib).

"Orang awam melihat kerosakan berhampiran bandar Noto di semenanjung Noto yang menghadap Laut Jepun, barat laut Tokyo, Selasa, 2 Januari 2024, berikutan gempa bumi yang membawa maut pada Isnin," tulis kapsyen gambar itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi gambar yang digunakan dalam siaran mengelirukan (kiri) dan gambar gempa oleh AP pada Januari 2024 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi gambar yang digunakan dalam siaran mengelirukan (kiri) dan gambar gempa oleh AP pada Januari 2024 (kanan)

Saluran berita UK, Sky News juga menerbitkan gambar jalan yang sama pada Januari 2024 (pautan arkib).

AFP sebelum ini menyemak fakta siaran-siaran palsu video tsunami susulan bencana gempa bumi di Jepun di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami