Siaran tentang bantuan e-dompet RM1000 pada Ogos 2024 adalah palsu: Kementerian Kewangan
- Diterbitkan pada hari Jumaat 30/08/2024 pukul 05:01
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Bantuan KEMENTRIAN KEWANGAN MALAYSIA eMADANI/Touch 'n Go eWallet 2024 Telah dibuka. Sila Semak & Claim," tulis satu siaran Facebook pada 10 Ogos 2024.
Infografik yang disertakan mendakwa pendaftaran untuk bantuan "eMadani" itu dibuka bermula 1 Ogos hingga 30 September dan pemohon yang layak akan menerima kredit e-dompet bernilai RM1,000.
Logo stesen penyiaran awam, Radio Televisyen Malaysia (RTM), tertera pada bahagian bawah imej terbabit (pautan arkib).
Siaran itu juga disertakan pautan yang membawa pengguna ke sebuah laman web yang mengajak mereka menebus kredit e-dompet dengan memasukkan nama penuh dan nombor telefon mereka.
Grafik yang sama telah dikongsi bersama-sama dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.
Versi infografik lain kelihatan seolah-olah ia dikeluarkan oleh Touch 'N Go Digital dan Kementerian Kewangan Malaysia (pautan arkib). Grafik terbabit telah dikongsi di Facebook di sini, di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.
Walaupun kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi bantuan kredit eMadani pada November 2023, program itu bagaimanapun telah berakhir pada Februari 2024 dan Kementerian Kewangan tidak mengumumkan pusingan kedua (pautan arkib di sini dan di sini).
Grafik 'palsu'
Carian kata kunci di Google menemui siaran Facebook di halaman sah Kementerian Kewangan pada 15 Ogos 2024 yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terperdaya dengan grafik "palsu" (pautan arkib).
"Berhati-hati dan jangan mudah terperdaya dengan berita sebegini," tulis siaran itu.
Carian imej terbalik grafik palsu itu membawa kepada siaran asal yang disiarkan di halaman sah Facebook yang milik RTM pada 3 Disember 2023 (pautan arkib).
Bertentangan dengan apa yang didakwa grafik palsu terbabit, infografik RTM sebaliknya menyatakan subsidi dibuka untuk pendaftaran mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024 dan bernilai RM100.
Grafik yang diedarkan pada Ogos 2024 adalah "palsu", seorang wakil RTM memberitahu AFP pada 20 Ogos.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara grafik palsu (kiri) dan grafik RTM (kanan):
Carian imej terbalik selanjutnya terhadap maklumat grafik palsu lain yang beredar dalam talian menemui siaran-siaran halaman Facebook yang sah oleh Touch 'n Go dan Kementerian Kewangan pada 29 November dan 30 November 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).
Infografik terbabit juga menyatakan skim subsidi itu akan dibuka pada 4 Disember 2023.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara grafik palsu (kiri) dan maklumat grafik asal oleh Touch 'n Go dan Kementerian Kewangan (kanan):
Touch 'n Go memberitahu AFP, pihaknya tidak menghasilkan grafik yang beredar dalam talian pada Ogos 2024.
"Program eMadani telah dilancarkan pada November tahun lepas. Apa yang didakwa sebagai pada Ogos hingga Oktober 2024 itu adalah berita palsu," kata jurucakap syarikat e-dompet itu pada 22 Ogos.
Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memberitahu AFP bahawa laman web "pendaftaran" terbabit adalah penipuan dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.
"Ia adalah akaun penipu kerana skim eMadani telah tamat. Tiada skim eMadani berlangsung sekarang," kata jurucakap itu pada 20 Ogos.
Kementerian tidak meminta butiran peribadi untuk bantuan eMadani dan pemohon mendaftar melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian dalam program itu, tambah jurucakap itu.
Polis Diraja Malaysia sebelum ini memberi amaran tentang penipuan-penipuan yang menyasarkan orang yang mendaftar eMadani ketika ia pertama kali diumumkan pada Disember 2023, lapor Bernama (pautan arkib).
AFP telah menafikan siaran-siaran penipuan serupa yang meminta maklumat peribadi pengguna, seperti yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan, di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami