'Scammer' dalam talian sasar pemohon bantuan lesen memandu kelas B2
- Diterbitkan pada hari Rabu 11/09/2024 pukul 10:37
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"TERKINI! Bantuan Lesen Memandu Percuma 2024 baharu dikemaskini dengan PROSES YANG LEBIH MUDAH LULUS!!" bunyi kapsyen siaran Facebook pada 8 Ogos 2024.
Grafik yang disertakan menggesa pengguna "mohon sekarang" untuk program "MyLesen B2" dan memaparkan jata negara serta logo Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (pautan arkib).
Pemohon diajak untuk mendaftar skim tersebut dengan memasukkan nama penuh dan nombor telefon melalui pautan yang tersedia pada siaran terbabit.
Versi lain dakwaan itu yang dikongsi pada 5 Jun 2024 bersertakan grafik yang dilihat seperti disediakan oleh JPJ, seperti tangakpan skrin berikut:
Siaran penipuan yang meminta maklumat peribadi pengguna sering tersebar di media sosial di negara ini. AFP sebelum ini telah menafikan akaun-akaun yang menyamar sebagai skim kerajaan yang turut meraih puluhan ribu orang pengikut, termasuk di sini dan di sini.
Siaran palsu serupa diedarkan di TikTok -- yang meminta pengguna klik pada pautan dalam bio akaun -- di sini dan di sini, di mana ia telah meraih lebih daripada 900,000 tontonan; serta di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.
Bantuan kerajaan
Program "MyLesen B2" memberi subsidi kepada kos mendapatkan lesen motosikal untuk warganegara Malaysia bagi golongan berpendapatan rendah, lapor Bernama pada Mei 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).
Bagaimanapun, program itu telah tamat pada Januari 2024 dan tidak dilanjutkan setakat September 2024.
"Permohonan atas talian sudah tutup pada 31 Januari 2024," JPJ beritahu AFP pada 4 September.
JPJ berkata "laman web pendaftaran" itu adalah penipuan dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata kerajaan akan memperluaskan skim subsidi itu. Namun, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai rancangan itu setakat 11 September 2024 (pautan arkib di sini dan di sini).
Carian imej terbalik menemui grafik asal JPJ dikongsi di halaman Facebook rasmi jabatan itu pada 8 Disember 2023 (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin laman web permohonan penipu (kiri), yang dilihat turut menyertakan satu tangkapan skrin borang permohonan rasmi yang dikeluarkan kerajaan, serta borang dalam talian sebenar yang dikeluarkan oleh JPJ (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami