Pegawai kanan tentera Israel Herzi Halevi tidak terbunuh dalam serangan Hizbullah

Konflik Timur Tengah semakin melarat antara Israel dan kumpulan militan Hizbullah, yang berpangkalan di Lubnan, saling menyerang. Namun, dakwaan di media sosial bahawa ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF) itu terbunuh dalam serangan pada 13 Oktober 2024 ke atas pangkalan tentera adalah palsu; Herzi Halevi melawat pangkalan terbabit selepas serangan dron itu.

"BREAKING Laporan awal mengesahkan Ketua Turus Tentera Israel, Herzi Halevi terbunuh," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 14 Oktober 2024.

Siaran itu turut mendakwa seramai 40 tentera Israel telah mati ataupun cedera selepas serangan dron Hizbullah terkena pangkalan tentera IDF di selatan Haifa.

Dakwaan palsu ini tersebar selepas Hizbullah melancarkan serangan dron yang mengorbankan empat askar Israel di kem latihan tentera di utara Haifa (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin dakwaan palsu diambil pada 17 Oktober, 2024

Dakwaan yang sama juga tersebar di beberapa kumpulan Facebook yang mempunyai beratus ribu pengikut. 

Ia juga disebarkan dalam bahasa Sepanyol, Perancis, Arab, Turki, Itali, Indonesia dan Korea. Saluran berita Pakistan GTV News juga melaporkan dakwaan palsu itu.

Serangan Hizbullah ke atas pangkalan tentera Israel berhampiran bandar Binyanima adalah serangan paling maut selepas Israel meningkatkan serangan terhadap kumpulan itu pada September 2024

Israel memberi alasan bahawa ia ingin menolak keluar Hizbullah dan mengambil balik sempadan utaranya untuk membolehkan beratus ribu orang awam yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan roket tahun lalu untuk kembali ke rumah mereka. 

Hizbullah pula berkata serangannya adalah tindakan solidariti bersama sekutu Palestin, Hamas. Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023 dan mencetuskan perang di Gaza. Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi berkata setakat ini seramai 746,584 orang awam kehilangan tempat tinggal di Lubnan (pautan arkib). 

Seramai 1,206 orang, kebanyakannya orang awam, terkorban dalan serangan Hamas mengikut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel termasuk tebusan yang terkorban.    

Serangan balas Israel telah membunuh 42,409 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan angka itu sebagai boleh dipercayai. 

Walaupun siaran palsu mendakwa Halevi terbunuh, jeneral itu telah melawat kem latihan Binyamina yang menempatkan anggota briged Golani pada 14 Oktober, beberapa jam selepas serangan dron. 

"Kita dalam perang dan serangan terhadap pangkalan ini adalah amat sukar dan sedih," Halevi berkata kepada anggota tentera di Binyamina. 

Rakaman dan imej yang diambil IDF menunjukkan Halevi berjalan sekitar pangkalan itu bersama anggota tentera yang lain (pautan arkib di sini dan di sini) . 

Dalam satu kenyataan di X, IDF telah mengesahkan bilangan tentera yang terbunuh dalam serangan itu dan meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi tentang nama mereka (pautan arkib). 

AFP telah menafikan dakwaan lain tentang konflik Israel-Palestin di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami