Imej janaan AI dikongsi sebagai 'megalodon hidup ditemui oleh nelayan Jerman'
- Diterbitkan pada hari Rabu 25/12/2024 pukul 04:29
- Dikemas kini pada hari Khamis 26/12/2024 pukul 03:14
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Megalodon masih hidup!" bunyi sebahagian siaran Facebook dikongsi pada 26 November 2024.
"Pada awal abad ke-20, nelayan Jerman di atas kapal Seastorm membuat penemuan luar biasa di Laut Utara: megalodon hidup, makhluk yang dipercayai telah pupus berjuta-juta tahun dahulu. Ketika bayang-bayang besar mengelilingi bot mereka, para nelayan menghadapi cabaran yang menggerunkan."
Gambar hitam putih itu menunjukkan seekor jerung besar tergantung pada takal sambil orang ramai mengerumun di sekeliling untuk melihatnya.
Menurut Natural History Museum di Britain, megalodon merupakan jerung pemangsa yang terbesar pernah wujud. Ia hidup di laut lebih tiga juta tahun lalu dan boleh membesar tiga kali ganda saiz jerung puting dewasa (pautan arkib).
Maklumat salah yang mendakwa megalodon masih hidup tular di media sosial selepas sebuah "dokumentari" daripada Discovery channel disiarkan pada 2013. Dokumentari itu memaparkan cerita rekaan yang mendakwa megalodon telah dilihat dan menyerang orang (pautan arkib).
Imej yang sama telah dikongsi dalam siaran Facebook di seluruh dunia, termasuk akaun di Indonesia, Mesir dan Amerika Syarikat. Ia juga disiarkan di Instagram.
Ikan gergasi itu sebenarnya pupus pada hujung zaman Pliocene, lebih kurang 2.6 juta tahun lalu, menurut Natural History Museum. Walaupun tidak diketahui dengan tepat bila megalodon terakhir mati, bukti terkini menunjukkan ia sekurang-kurangnya 3.6 juta tahun yang lalu.
Carian imej terbalik dan kata kunci mendapati imej itu mula-mula disiarkan oleh satu akaun yang berkongsi kandungan janaan AI.
Imej janaan AI
Imej itu disiarkan akaun Instagram bernama "thefantasycreatures" pada 24 Januari 2024 bersama cerita fiksyen yang sama yang mendakwa nelayan Jerman yang menangkap jerung itu bersama dengan hashtag "artificial intelligence", "stable diffusion", "Dall-E3" and "Midjourney" (pautan arkib di sini dan di sini)
Dall-E dan Midjourney adalah perisian janaan kecerdasan buatan yang boleh menjana gambar menggunakan gesaan bahasa.
Bio akaun Instagram itu juga menyatakan ia "mereka bentuk" imej makhluk fantasi menggunakan kecerdasan buatan.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi imej dalam siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram (kanan):
Selain itu, imej "megalodon hidup" menampilkan beberapa visual yang tidak konsisten, seperti muka herot, kekurangan anak pada mata seorang lelaki dan badan tanpa kepala. Ini menunjukkan imej itu dijana AI, seperti dalam tangkapan skrin di bawah:
Visual yang tidak konsisten adalah salah satu tanda imej yang disiarkan adalah janaan kecerdasan buatan menurut panduan AFP untuk mengesan imej dijanaan AI.
AFP sebelum ini telah membongkar imej haiwan dijana AI yang telah disiarkan sebagai gambar asli di sini dan di sini.
Membetulkan kesilapan ejaan dalam perenggan keenam26 Disember 2024 Membetulkan kesilapan ejaan dalam perenggan keenam
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami