
Ini video laungan azan ketika pasar raya terbakar di Pakistan pada 2022, bukan ketika kebakaran liar LA
- Diterbitkan pada hari Rabu 19/02/2025 pukul 02:44
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Devesh MISHRA, AFP India
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Azan berkumandang di Los Angeles bagi meredakan kebakaran," tulis teks pelekat pada siaran video TikTok yang disiar pada 13 Januari 2025.
Klip yang mendapat lebih 500,000 tontonan itu menunjukkan sekumpulan lelaki berpakaian jubah dan kurta sedang melaungkan azan dengan kepulan asap tebal dan api di latar belakang.

Kebakaran liar di Los Angeles yang tercetus pada 7 Januari telah memusnahkan 40,000 ekar (16,000 hektar) dan meragut kira-kira 30 nyawa (pautan arkib).
Terdahulu, kebakaran liar itu juga mencetuskan dakwaan salah lain, yang disangkal oleh AFP, mengenai "rumah ajaib" yang kononnya kalis api kerana kepercayaan agama pemiliknya dan juga video seorang pengawal memeluk Islam kononnya selepas terkesan dengan bencana itu.
Rakaman orang Islam mengumandangkan azan itu juga dikongsi secara salah di Facebook, di sini dan di sini.
Komen-komen pengguna di media sosial menunjukkan bahawa mereka percaya akan dakwaan itu sebagai benar.
Seorang pengguna berkata: "Ya Allah lindungilah umat Islam di LA."
"semoga ALLAH LINDUNGI ORG2 ISLAM DI SANA," tulis seorang lagi pengguna di ruangan komen.
Tetapi klip itu sebenarnya dirakam beberapa tahun lalu di Pakistan.
Video lama
Carian imej terbalik di Google menemui rakaman yang sama pernah disiarkan di X pada 3 Jun 2022 (pautan arkib).
Kapsyen klip itu berkata kebakaran berlaku di sebuah pasar raya di bandar terbesar Pakistan, Karachi.
"Satu percubaan dibuat untuk memadamkan api dengan Azan berjemaah," bunyi kapsyen itu secara sinis. "Ia tidak berhasil."

Carian kata kunci selanjutnya menemui laporan video pada saluran YouTube milik media Pakistan Samaa TV pada 1 Jun 2022 (pautan arkib).
Tajuk video dalam bahasa Inggeris itu berbunyi: "Breaking: Karachi Departmental Store Fire Update - SAMAA TV - 01 Jun 2022".
Menurut laporan, kebakaran berlaku di ruang bawah tanah bangunan bertingkat yang menempatkan sebuah gedung berhampiran jejambat Penjara Chowrangi Karachi.
Bangunan dalam video palsu itu juga sepadan dengan apa yang dilihat dalam video Samaa TV.

Akhbar The Times of India juga menggunakan video itu dalam laporannya mengenai kebakaran itu (pautan arkib).
Seorang maut, manakala tiga lagi cedera, lapor media Pakistan (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami