Imej gadis bersama harimau bintang salji di kawasan pergunungan Pakistan ini dijana AI

Imej hasil janaan kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan seorang gadis duduk bersama harimau bintang salji yang kononnya dipeliharanya telah disiarkan dengan dakwaan salah tersebut sejak 2024. Pencipta kandungan digital itu mengesahkan dengan AFP bahawa dia menghasilkan imej itu menggunakan alat AI, Midjourney.

"Nama gadis ini ialah 'Gulmina' dan dia tinggal di kawasan Shamshal di Gilgit Baltistan. Baltistan ialah kawasan pergunungan di Pakistan berhampiran Pergunungan Karakoram di selatan Gunung Ki," bunyi kapsyen Facebook disiar pada 5 April 2025.

"Gadis kecil, Gulmina, membelai harimau bintang salji yang digambarkan bersamanya, menyangka ia adalah anak kucing. Sekarang harimau bintang telah membesar dan tinggal di pergunungan, tetapi ia masih datang untuk melawatnya secara berkala," tulis kapsyen itu lagi.

Imej menunjukkan seorang gadis duduk di sebelah harimau bintang salji berlatar belakangkan gunung dilitupi salji.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 14 April 2025

Imej sama juga telah dikongsi bersama dengan dakwaan menyatakan gadis itu berasal dari Afghanistan di Facebook dan turut beredar dalam bahasa lain seperti bahasa Thai, bahasa Urdu dan Inggeris sejak 2024.

"Tak mustahil harimau dan manusia berbaik sebab harimau tahu menyayangi manusia seperti kucing," tulis seorang pengguna.

"Luar biasa susah nak jumpa kes mcm ni," kata pengguna lain.

Bagaimanapun, gambar itu sebenarnya telah dijana menggunakan AI. 

Imej janaan AI

Carian imej terbalik di Google mendapati gambar itu telah diterbitkan sejak 24 Mac 2024 oleh pengguna akaun Instagram bernama @babrakk (pautan arkib).

Imej itu mengandungi tera air "Midjourney" di bahagian atas sebelah kanan, menunjukkan ia dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan.

"Shirin & temannya yang garang. Menjadi pasangan yang hebat," tulis kapsyen dalam bahasa Inggeris itu. 

Image
Tangkapan skrin siaran Instagram dengan elemen yang ditandakan AFP

Babrak Khan, pemilik akaun itu, mengesahkan kepada AFP pada 16 Mei 2024, bahawa dia menghasilkan imej itu menggunakan Midjourney, sebuah alat AI generatif yang mencipta imej berdasarkan gesaan teks.

"Ya, (saya) buat ini menggunakan Midjourney," katanya kepada AFP.

"Menggunakan AI, saya mengubah imaginasi liar saya kepada realiti digital," tulis Khan dalam mesej kepada AFP, sambil menambah bahawa karya seninya bertujuan untuk menggambarkan kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan haiwan.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram yang asal (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram yang asal (kanan)

AFP sebelum ini telah menafikan imej lain yang dijana kecerdasan buatan di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami