Gambar 'rumah ajaib' selamat dari kebakaran liar Los Angeles ini hasil janaan AI

Ketika kebakaran liar menjejaskan kawasan Los Angeles, satu gambar rumah beratap merah tersebar dalam talian dengan dakwaan ia merupakan "rumah ajaib" yang kalis api keran kepercayaan agama pemiliknya. Namun, imej itu mempunyai tera air digital yang menandakan ia dijana kecerdasan buatan Google AI.

"Baru-baru ini, kebakaran besar melanda Los Angeles (LA), menghancurkan ribuan bangunan. Namun, terdapat beberapa rumah yang secara ajaib selamat dari amukan api," bunyi sebahagian kapsyen siaran Instagram yang berkongsi gambar rumah itu pada 13 Januari 2025. 

Imej pandangan udara itu menunjukkan sebuah rumah beratap merah yang dilihat seperti tidak terjejas dengan kebakaran manakala rumah lain disekelilingnya hangus terbakar dijilat api. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Instagram diambil pada 3 Februari 2025

Imej itu juga tersebar di Facebook dan TikTok, selain dalam siaran berbahasa Inggeris, Perancis dan Indonesia dengan beberapa pengguna media sosial mendakwa rumah itu terselamat daripada kebakaran kerana pemiliknya beragama Kristian. 

Beberapa siaran dalam bahasa Thai pula secara tidak berasas mendakwa rumah itu adalah milik ahli gusti profesional John Cena. AFP sebelum ini menafikan maklumat salah lain yang mendakwa salah sebuah rumah tidak terjejas dalam kebakaran di LA merupakan milik ahli gusti itu di sini

Kebakaran liar telah memusnahkan 40,000 ekar (16,000 hektar) di kawasan Los Angeles selepas tercetus pada 7 Januari lalu dan sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan terkorban (pautan arkib).

Walaupun siasatan masih berjalan, media sosial dipenuhi dengan lambakan video yang berkongsi pelbagai dakwaan tidak berasas dan maklumat salah, termasuk video janaan kecerdasan buatan (AI) dan video lama mengenai fenomena puting beliung

Meskipun kebakaran liar boleh dinyalakan dengan sengaja, ia selalunya boleh berlaku secara semula jadi dan merupakan bahagian penting dalam kitaran hayat alam sekitar. 

Walaupun terdapat laporan tentang rumah yang terselamat daripada kebakaran liar Los Angeles, AFP tidak menemui sebarang laporan tentang sebuah rumah yang menyerupai rumah dalam gambar dikongsi dalam talian itu (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Jurugambar AFP David Swanson berkata dia tidak melihat rumah sedemikian semasa menaiki helikopter di Los Angeles pada 10 Januari lalu. 

'Buatan Google AI'

Hasil semakan AFP menerusi carian imej terbalik di Google mendapati gambar itu ditandakan sebagai "Buatan Google AI" pada fitur "Tentang gambar ini". 

Image
Tangkapan skrin Google Images, dengan label AI ditandakan AFP

Makmal DeepMind AI oleh Google melancarkan fitur SynthID pada 2023, sebuah alat untuk tera air digital dan mengenal pasti imej yang dibuat dengan Google AI (pautan arkib).

"Pengguna boleh mengenal pasti sama ada satu imej, atau sebahagian daripada imej itu, dijana peranti AI oleh Google melalui fitur 'Tentang Imej' ini dalam 'Carian' atau 'Chrome'," tulis laman webnya (pautan arkib).

Imej itu juga ditandakan sebagai kemungkinan dijana oleh AI oleh projek pengesahan Eropah veraai.eu, di mana AFP adalah rakan kongsi. Pengesan ini mengenal pasti jejak tertentu yang ditinggalkan oleh perisian penjanaan imej AI.

Siwei Lyu, pengarah Universiti di Makmal Forensik Media Buffalo di Amerika Syarikat, memberitahu AFP bahawa peranti DeepFake-O-Meter pasukannya itu juga mengesahkan imej itu "kemungkinan besar dijana AI" (pautan arkib di sini dan di sini).

Matthew Stamm, profesor madya kejuruteraan elektrik dan komputer di Universiti Drexel, memeriksa imej itu menggunakan algoritma pengesanan media sintetik pasukannya, yang beroperasi dengan mencari jejak statistik yang tidak kelihatan ditinggalkan oleh sumber sesuatu imej (pautan arkib).

"Hasil analisis ini menemui bukti bahawa imej itu dihasilkan secara sintetik," katanya kepada AFP.

"Algoritma kami menemui kesan yang tidak konsisten dengan imej sebenar, tetapi konsisten dengan imej-imej yang dijana AI."

Hany Farid, seorang pakar forensik media di Universiti California-Berkeley dan pengasas bersama GetReal Labs -- sebuah syarikat pengesanan video atau imej palsu 'deepfake'-- juga "menemui bukti janaan AI" apabila beliau menganalisis imej itu dengan alat forensik pasukannya (pautan arkib).

Rumah di Hawaii

Gambar itu mempunyai persamaan yang ketara dengan gambar tulen rumah yang terselamat daripada kebakaran liar Hawaii pada Ogos 2023 -- menunjukkan bahawa imej itu mungkin telah digunakan untuk menghasilkan imej tiruan.

Imej itu, yang diambil di Lahaina, Hawaii oleh jurugambar AFP Patrick Fallon, telah disalahnyata dalam talian sebagai sebuah rumah yang secara ajaib terselamat daripada kebakaran liar di Los Angeles kerana pemiliknya beragama Islam.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara imej yang dijana AI (kiri) dan gambar oleh Fallon tentang sebuah rumah yang terselamat daripada kebakaran di Hawaii (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara imej yang dijana AI (kiri) dan gambar oleh Fallon tentang sebuah rumah yang terselamat daripada kebakaran di Hawaii (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami