Ini video pengunjung pesta di Perancis, bukan pelarian Israel

Video yang menunjukkan orang ramai menghadiri pesta di Perancis disiarkan dengan dakwaan salah ia menunjukkan warga Israel melarikan diri daripada serangan Iran. Klip yang sebelum ini dikongsi di TikTok sebenarnya menunjukkan kawasan pesta Hellfest yang juga dikenalpasti mengunakan gambar Google Maps. 

"Dah JADI pelarian pulak.. rasakan..," bunyi siaran Facebook 22 Jun yang ditonton lebih daripada 327,000 kali. 

Klip itu menunjukkan gerombolan orang membawa beg dan troli berjalan di atas padang dan jalan tanah.

Ia tular ketika warga asing dipindahkan dari Israel dan Iran selepas Israel melancarkan serangan terhadap tapak nuklear Iran pada 13 Jun yang mencetuskan serangan balas daripada Tehran (pautan arkib di sini dan di sini). 

Israel dan Iran berbalas serangan selama 12 hari sebelum bersetuju kepada gencatan senjata dalam konflik yang telah mengorbankan lebih daripada 1,000 orang di Iran dan 28 di Israel (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 9 Julai 2025 dengan palang merah ditambah oleh AFP

Video itu dikongsi di Facebook di sini dan di sini. Ia juga tular dalam bahasa Arab, Turki dan Thai.

Pesta muzik Perancis

Carian imej terbalik di Google membawa kepada video serupa yang dikongsi di Tiktok pada 19 Jun dengan teks pelekat bahasa Perancis yang berkata, "Tapak kem Hellfest dibuka semalam" (pautan arkib). 

Pemegang ticket pesta Hellfest yang diadakan di bandar Clisson di barat Perancis boleh tinggal di kem pesta tersebut secara percuma (pautan arkib). 

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu Facebook (kiri) dan video TikTok (kanan)

Pengguna TikTok itu juga memuat naik satu lagi video yang menunjukkan tapak kem festival tersebut pada 23 Jun (pautan arkib).

Carian kata kunci pula membawa kepada video serupa di YouTube yang disiarkan oleh saluran web Perancis TV Sèvre et Maine pada 20 Jun (pautan arkib). 

Papan tanda merah dan hitam yang tinggi dan khemah berwarna putih boleh dilihat dalam siaran palsu dan juga video yang dikongsi di YouTube. 

Image

Selain itu, deretan khemah putih yang dilihat dalam siaran palsu sepadan dengan foto tapak perkhemahan yang digeotag pada 2023 yang tersedia di Google Maps (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan foto Google Maps yang diambil pada 2023 (kanan) menunjukkan deretan khemah di pesta tersebut

Imej satelit Google Earth yang diambil pada Jun 2018 juga menunjukkan tapak pesta yang luas (pautan arkib)

Image
Imej Google Earth yang menunjukkan tapak perkhemahan Hellfest pada Jun 2018

AFP telah menafikan dakwaan palsu yang  berkaitan dengan konflik Iran-Israel di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami