Ini video pengeboman di Syria pada 2024, bukan Amerika Syarikat 'letupkan fasiliti nuklear Iran'

Klip letupan lama di Syria muncul semula dalam siaran salah yang mendakwa ia menunjukkan serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran pada Jun 2025. Video itu sebenarnya menunjukkan serangan di wilayah Tartarus pada 2024 selepas presiden Bashar al-Assad digulingkan.

"AS akhirnya masuk 'gelanggang', hantar pesawat B-2 letupkan fasiliti nuklear Iran," tulis teks pada video TikTok disiar pada 22 Jun 2025.

"Tindakan itu dilakukan atas arahan presiden Donald Trump," tambah kapsyen klip berdurasi tujuh saat yang menunjukkan satu letupan yang besar dari jarak jauh. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 9 Julai 2025 dengan palang merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa juga muncul di platform lain seperti Facebook dan Instagram beberapa jam selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas tapak utama pengayaan uranium bawah tanah di Fordo, termasuk kemudahan nuklear Iran di Isfahan dan Natanz (pautan arkib).

Iran dan Israel berbalas serangan dalam konfrontasi paling sengit mereka dalam sejarah sejak Israel melakukan serangan mengejut terhadap Iran pada 13 Jun (pautan arkib).

Presiden AS Donald Trump berkata gencatan senjata antara musuh Timur Tengah berkuat kuasa pada 24 Jun dan menggesa kedua-dua pihak untuk "tidak melanggarnya" (pautan arkib).

Bagaimanapun, klip itu muncul sebelum perang yang telah membunuh ratusan nyawa di Iran dan puluhan di Israel.

Pengeboman di Syria

Carian imej terbalik mengesan video yang serupa telah dimuat naik beberapa laporan berita termasuk Deutsche Welle, Al Jazeera dan NBC News pada 16 Disember 2024 tentang serangan Israel di wilayah Tartus pantai Syria, seminggu selepas presiden Bashar al-Assad digulingkan (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip yang dikongsi secara palsu (kiri) dan laporan Al Jazeera (kanan)

Kawasan yang disebut dalam laporan itu adalah hampir dua kilometer dari perkampungan Bmalkah, di kawasan bukit di atas Tartus, dimana seorang wartawan AFP melihat jalan-jalan disitu dipenuhi serpihan kaca dan cebisan pintu (pautan arkib di sini dan di sini).

Kekuatan letupan itu telah merosakkan daun pokok-pokok zaitun di kawasan kebun sekitar kampung dan kepulan asap masih kelihatan dari lereng bukit berhampiran.

Klip itu juga telah disangkal AFP dalam bahasa Arab.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami