Klip warga Israel halang konvoi bantuan ke Gaza dirakam pada 2024

  • Diterbitkan pada hari 07/08/2025 jam 11:19
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Ketika Palestin berdepan krisis kebuluran, satu video lama tular dengan dakwaan ia  menunjukkan warga Israel menghalang konvoi bantuan makanan memasuki Gaza. Walaupun aktivis Israel dilaporkan terus berusaha menghalang bekalan bantuan memasuki Gaza, video yang tular sebenarnya dirakam dan juga disiarkan dalam laporan berita pada Januari 2024. 

"Warga Yisrael menghalang trak bantuan — sementara kanak-kanak di Gaza sedang kebuluran," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 27 Julai 2025. 

Video itu menunjukkan sekumpulan orang mengibarkan bendera Israel dihadapan konvoi trak berwarna putih dan menghalang ia daripada bergerak ke hadapan. 

Menurut kapsyen siaran Facebook, trak tersebut terpaksa meninggalkan bekalan di sempadan manakala bayi meninggal dunia hanya beberapa batu dari situ. 

"Inilah maksud Yisrael apabila mereka berkata Hamas mencuri semua makanan dan bantuan," tambah siaran itu. 

Image
Tangkapan skrin siaran keliru dari Facebook diambil pada 5 Ogos 2025 dengan X warna oren ditambah oleh AFP

Klip yang serupa dikongsi oleh akaun Facebook lain dan juga dalam siaran X.

Ia tular selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Gaza berhadapan krisis kebuluran manakala kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas itu berkata angka kematian rakyat Palestin dalam perang hampir 22 bulan telah melebihi 60,000 (pautan arkib). 

Perang yang tercetus akibat serangan Hamas pada Oktober 2023 telah mengorbankan 1,219 orang di Israel, kebanyakanya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Israel mula membenarkan sedikit bantuan memasuki Gaza pada lewat bulan Mei selepas mengenakan sekatan penuh pada bulan Mac apabila gencatan senjata gagal. 

Ia juga mengumumkan "jeda taktikal" dalam pertempuran di beberapa bahagian Gaza bagi membuka laluan darat untuk menghantar bantuan kemanusiaan manakala bantuan dari udara juga digugurkan di wilayah tersebut.

Namun, menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) -- kumpulan pemantau yang menasihati PBB mengenai krisis yang bakal berlaku -- usaha ini tidak mencukupi melainkan agensi bantuan diberikan akses "segera dan tanpa halangan".

Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menuduh Hamas mencuri dan merompak makanan yang bertujuan untuk orang awam.

"Kami telah membenarkan sejumlah besar bantuan kemanusiaan ke Gaza setiap hari, termasuk makanan, air dan ubat-ubatan. Malangnya, Hamas... banyak kali mencuri bantuan penduduk Gaza dengan menembak rakyat Palestin," kata pejabatnya. 

The Jerusalam Post pula melaporkan bahawa aktivis Israel masih cuba menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza, tetapi video yang tular diambil pada 2024 (pautan arkib). 

Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran TikTok akaun AJ+, saluran digital kepunyaan penyiar Al Jazeera, dari 25 Januari 2024 (pautan arkib). 

Kapsyenya berbunyi: "Berpuluh-puluh orang Israel menyekat trak bantuan daripada memasuki Gaza ketika rakyat Palestin berada di ambang kebuluran."

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip yang dikongsi secara mengelirukan (kiri) dan siaran TikTok daripada AJ+ (kanan)

Carian kata kunci pula membawa kepada laporan berita serupa yang disiarkan oleh Al Jazeera dan The Washington Post (pautan arkib di sini dan di sini)

AFP juga melaporkan tentang protes yang berlaku di lintasan Kerem Shalom, satu daripada dua lintasan sempadan yang digunakan untuk penghantaran bantuan kepada kira-kira 2.4 juta penduduk Gaza (pautan arkib). 

Protes itu dihadiri keluarga tebusan yang diambil oleh Hamas ketika serangan pada Oktober 2023. Mereka menentang bantuan kemanusiaan memasuki Gaza selagi tebusan tidak dilepaskan. 

AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain mengenai perang Israel di Gaza di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami