Ini video bot nelayan di China, bukan flotilla bantuan ke Gaza

  • Diterbitkan pada hari 17/09/2025 jam 09:22
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Video bot-bot nelayan keluar ke laut di utara China dikongsi dengan dakwaan salah ia menunjukkan Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis pro-Palestin dalam perjalanan ke Gaza. 

"Global Sumud Flotilla bukan gerakan pengganas. Ia adalah MISI KEMANUSIAAN," bunyi siaran Facebook pada 10 September 2025.

Video yang ditonton lebih daripada 3,300 kali itu menunjukkan beratus bot menuju ke laut. 

Tambah siaran itu, flotilla berkenaan tidak membawa senjata, hanya bantuan dan makanan. 

Video itu dikongsi selepas penganjur flotilla tersebut berkata salah satu bot mereka diserang dron berhampiran perairan Tunisia pada 9 September (pautan arkib). 

Kementerian Dalam Negeri Tunisia berkata ia telah melancarkan siasatan ke atas serangan "pencerobohan terancang".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 12 September 2025, dengan X merah ditambah oleh AFP

Video sama dikongsi beratus kali di Facebook, Instagram dan TikTok.

Kumpulan pertama flotilla itu belayar dari Sepanyol sebelum disertai oleh sebuah lagi kumpulan di Tunisia. Ia bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, yang kini berdepan kebuluran di bawah sekatan oleh Israel sejak perang tercetus antaranya dan Hamas (pautan arkib). 

Perang yang meletus pada Oktober 2023 dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel yang mengakibatkan kematian 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.

Serangan balas Israel telah mengorbankan 64,964 orang Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada bulan Ogos, akibat perang yang berterusan, PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran berlaku di Semenanjung Gaza (pautan arkib). 

Bot nelayan China 

Carian imej terbalik membawa kepada siaran serupa yang dikongsi oleh tabloid Global Times yang dikendalian kerajaan China di BiliBili (pautan arkib). 

"Tengah hari pada 1 September, larangan memancing musim panas di Bohai dan Laut Kuning berakhir, bot nelayan di sepanjang pantai wilayah Shandong mula belayar pada masa yang sama," bunyi teks bahasa Cina pada video itu.

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi video yang dikongsi secara palsu (kiri) dan video Global Times (kanan)

Carian imej terbalik selanjutnya membawa kepada klip serupa yang diterbitkan oleh akaun Facebook  China Plus Culture, sebuah gabungan penyiar rasmi negara China CGTN, pada 3 September mengenai tamatnya larangan memancing musim panas selepas empat bulan (pautan arkib).

"Lebih 30,000 kapal nelayan berlepas dari pelabuhan di sepanjang Laut Kuning dan Laut Bohai, utara 35 darjah latitud, selepas larangan menangkap ikan musim panas selama empat bulan secara rasmi tamat pada tengah hari pada 1 September, menandakan permulaan musim baharu untuk beribu-ribu komuniti pantai," bunyi siaran itu. 

Pemeriksaan teliti ke atas klip tersebut menunjukkan bot-bot itu mengibarkan bendera berwarna merah yang menyerupai bendera kebangsaan China -- bukan bendera Palestin yang berwarna hitam, putih dan hijau.

Image
Tangkapan skrin video yang dikongsi secara palsu dengan bendera di atas bot yang diperbesarkan oleh AFP

Gambar Global Sumud Flotilla yang diambil oleh AFP ketika ia berlabuh di Tunisa menunjukkan kapal layar yang dihiasi dengan bendera Palestin, bertentangan dengan apa yang dilihat dalam video yang disiarkan secara palsu. 

Image
Bot, sebahagian daripada Global Sumud Flotilla berkumpul di pelabuhan Bizerte, Tunisia, sebelum berlepas ke Semenanjung Gaza untuk memecahkan sekatan Israel di wilayah Palestin pada 13 September 2025. (AFP / FETHI BELAID)

AFP juga telah menafikan dakwaan palsu lain yang berkaitan dengan perang di Gaza di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami