Video kejadian tanah runtuh Paya Terubong ini hasil janaan AI

Selepas tanah runtuh dan lumpur merosakkan beberapa buah kenderaan yang berada di lereng bukit di Pulau Pinang pada 24 Oktober lalu, satu video tersebar dalam siaran media sosial yang secara salah mendakwa ia menunjukkan kejadian itu. Walaupun klip itu menyerupai kawasan di mana tanah runtuh itu berlaku, ia sebenarnya berbeza daripada rakaman yang digunakan dalam laporan berita dan mengandungi anomali visual yang konsisten dengan kandungan janaan kecerdasan buatan (AI).

"Kjadian tanah runtuh d paya terubong Penang..," bunyi kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 24 Oktober 2025. 

Klip tersebut, yang telah ditonton lebih daripada 500,000 kali, menunjukkan cerun runtuh apabila air berlumpur mengalir melalui pokok-pokok di lereng bukit itu sebelum menghentam beberapa buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir itu.

Video itu muncul selepas kira-kira 12 kenderaan di kawasan parkir di sebuah kompleks kediaman di Paya Terubong rosak akibat cerun runtuh pada petang 24 Oktober.

Bernama memetik pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang sebagai berkata kejadian yang berlaku ketika hujan lebat di kawasan itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 29 Oktober 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Video itu dikongsi di tempat lain dalam siaran serupa di TikTok.

"Ada orang tertimbus," tulis komen dalam siaran itu.  Seorang lagi pengguna berkata: "Nampk seseorang depan saga putih tu."

Walaupun rakaman itu menyerupai tempat kejadian tanah runtuh, ia mengandungi anomali visual yang menunjukkan kandungan itu dijana AI dan berbeza daripada laporan berita tentang cerun runtuh itu (pautan arkib).

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata dalam siaran Facebook pada 24 Oktober bahawa video itu dijana menggunakan AI (pautan arkib).

"Berikut adalah video berita palsu (AI) yang sedang disebarkan melalui WhatsApp terhadap kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Paya Terubong. Diharap pelaku lebih bertanggungjawab terutama waktu-waktu seperti ini," katanya. 

Analisis lebih mendalam terhadap rakaman terbabit menunjukkan ia mengandungi ciri visual yang tidak konsisten pada kandungan yang dijana dengan alat AI.

Bentuk tubuh seorang manusia yang herot dapat dilihat di tengah-tengah klip itu tiba-tiba rebah dan hilang dari pandangan -- bertentangan dengan laporan bahawa tiada kecederaan atau orang hilang dilaporkan. 

Walaupun kemajuan meteorik dalam teknologi AI generatif, visual yang tidak konsisten seperti ini adalah tanda-tanda bahawa ia tidak tulen.

Image
Tangkapan skrin daripada video yang dikongsi secara palsu menunjukkan seseorang secara tiba-tiba rebah dan hilang daripada pandangan

Video yang dikongsi secara salah itu juga berbeza daripada rakaman yang disiarkan dalam saluran YouTube rasmi The Star yang menunjukkan kesan cerun runtuh itu (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin video The Star yang disiarkan pada 24 Oktober 2025

AFP sebelum ini telah menafikan imej dan video lain yang dijana kecerdasan buatan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami