Tiada arahan penutupan sekolah pondok di Kelantan, Kedah: menteri agama
- Diterbitkan pada hari 13/11/2025 jam 10:11
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Susulan beberapa insiden keganasan di sekolah, termasuk kes buli, rogol dan pembunuhan, siaran palsu yang mendakwa kerajaan telah mengarahkan penutupan sekolah pondok di Kedah dan Kelantan tersebar. Menteri hal ehwal agama menyifatkan dakwaan yang beredar dalam talian itu sebagai "tidak benar, berniat jahat dan fitnah". Setakat 13 November, tiada sebarang pengumuman atau laporan rasmi mengenai penutupan sekolah agama.
"Rogol di sekolah, bunuh di sekolah, buli di sekolah, mabuk di sekolah.. Akhirnya pondok yang ditutup.. Asal bukak mulut je bodo terus menteri agama ni," bunyi sebahagian kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 23 Oktober 2025.
Siaran itu memaparkan gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar bercakap kepada media. Teks pada imej itu berbunyi: "Pondok-pondok di Kelantan dan Kedah yang tidak berdaftar dijangka diarah tutup."
Imej Mohd Na'im yang sama turut dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook dan Instagram.
Siaran itu muncul berikutan beberapa insiden berprofil tinggi melibatkan kes buli, bunuh dan rogol di sekolah (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
AFP menafikan beberapa dakwaan palsu selepas insiden itu.
Walaupun media melaporkan pada 23 Oktober bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan sebuah sekolah pondok ditutup sementara kerana beroperasi secara tidak sah, tiada laporan mengenai penutupan semua sekolah agama negeri di Kedah atau Kelantan setakat 13 November (pautan arkib).
Carian kata kunci di Google mendapati Mohd Na'im menyifatkan pengumuman yang tersebar itu sebagai "fitnah" menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau pada 23 Oktober (pautan arkib).
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Persekutuan atau Jabatan di bawah saya akan mengarah penutupan pondok-pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah. Dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat dan bersifat fitnah," katanya.
"Tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan."
Carian imej terbalik Google diikuti carian kata kunci mendapati imej Mohd Na'im yang digunakan dalam siaran palsu itu pada asalnya dimuat naik ke halaman Facebook rasminya pada 27 Ogos (pautan arkib).
Gambar itu dimuat naik dalam satu siaran mengenai kehadiran beliau di majlis tilawah Al-Quran di Kuala Lumpur dan tidak menyebut tentang penutupan pondok.
Pada 28 Oktober, Mohd Na'im menuntut pengguna Facebook yang mula-mula menyebarkan dakwaan itu agar mengakui kesilapannya dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka (pautan arkib).
Pengguna Facebook itu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka pada 4 November dan mengakui tersilap lapor fakta mengenai dakwaan membabitkan Mohd Na'im (pautan arkib).
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami