Siaran palsu kongsi berita rekaan tentang perjanjian perdagangan Malaysia-AS

Perjanjian perdagangan yang ditandatangani antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Oktober dikritik oleh parti pembangkang dan ahli kerajaan perpaduan atas alasan ia tidak adil kepada Malaysia. Namun, siaran yang berkongsi laporan berita yang mendakwa Anwar mengakui terdapat "banyak kesilapan" dalam perjanjian itu adalah palsu dan rekaan. Akhbar Utusan Malaysia juga menafikan artikel itu dan berkata  ia tidak diterbitkan di saluran rasminya

Laporan rekaan itu memaparkan gambar Anwar, dengan tajuk berbunyi, "Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US". Siaran itu dikongsi di Facebook pada 4 November 2025.

Sebahagian kapsyen pada siaran itu berbunyi, "APABILA ADA KENYATAAN SEPERTI INI MAKA KITA NAMPAK MELAYU MELAYU BIUL YG SOKONG KERAJAAN MADANI INI SEMEMANGNYA MANUSIA PALING BIUL DI ATAS BUMI MALAYSIA INI".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 13 November 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Anwar menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi ketika Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober, memuktamadkan kadar tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia yang pertama kali dipersetujui pada Ogos dan meningkatkan akses AS kepada mineral kritikal ketika China mengetatkan kawalan ke atas bahan tersebut (pautan arkib).

Tetapi pengkritik pentadbiran Anwar dan juga beberapa ahli kerajaan perpaduan dengan cepat menyelar apa yang mereka katakan sebagai perjanjian yang tidak adil bagi Malaysia, mengambil artikel dalam perjanjian perdagangan yang menyatakan Malaysia perlu selaras dengan Washington dalam isu sekatan ekonomi atau sekatan terhadap negara ketiga (pautan arkib).

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menolak kritikan itu sebagai "politik semata-mata" (pautan arkib).

Laporan Utusan Malaysia yang direka itu turut tersebar di Facebook, Instagram dan TikTok, sekaligus mengelirukan pengguna media sosial.

"Kalau dah tak boleh memimpin, lepaskan je jawatan," tulis seorang pengguna di ruangan komen. 

"Sepatutnya raja2 melayu ni kena ambil tindakan pantas kepada Perdana menteri..bahaya kepada negara," kata seorang lagi pengguna. 

Laporan rekaan

Carian kata kunci di Google mendapati Utusan Malaysia menolak artikel palsu itu dalam satu kenyataan di Facebook rasmi pada 5 November, di mana akhbar itu menyertakan pautan kepada laporannya sendiri tentang siaran palsu terbabit (pautan arkib di sini dan di sini).

Perbandingan tangkapan skrin yang menunjukkan artikel tulen dan artikel yang telah disunting turut dinyatakan Utusan Malaysia. 

"Utusan Malaysia membuat laporan polis berhubung penyebaran satu hantaran di media sosial yang menggunakan nama dan logo akhbar ini bagi menyebarkan berita fitnah berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya. 

Image
Tangkapan skrin kenyataan Utusan Malaysia di Facebook

Utusan Malaysia menambah, siaran itu telah direka untuk menyerupai laporan mereka, sedangkan berita itu tidak pernah diterbitkan oleh syarikat itu dalam apa jua bentuk.

Carian imej terbalik Google diikuti carian kata kunci mendapati artikel asal telah diterbitkan di Utusan Malaysia pada 19 November 2022 (pautan arkib).

Tajuk berita itu berbunyi: "Anwar tiba di pusat media PH."

Artikel itu adalah mengenai ketibaan Anwar di hotel Grand Dorsett di Petaling Jaya, sambil menunggu keputusan pilihan raya umum ketika itu. Ia tidak menyebut perjanjian perdagangan dengan AS.

Pada 6 November lalu, Utusan Malaysia menyiarkan ulasan oleh ketua pengarang kumpulannya, Mohamad Azlan Jaafar, yang mengulas laporan palsu itu (pautan arkib).

Azlan menyatakan tanda-tanda tidak tulen: "Sekali pandang, anda sudah mengetahui bahawa ia bukan hasil Utusan Malaysia kerana semua berita kami menggunakan 'AS' bagi merujuk kepada Amerika Syarikat dan bukan 'US'."

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu lain yang menggunakan laporan berita palsu atau rekaan di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami