Imej 'ibu lindungi anak dari tentera' di Sudan ini hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 12/11/2025 jam 09:54
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Dounia MAHIEDDINE, AFP Perancis, AFP Ethiopia
- Terjemahan dan adaptasi Tolera FIKRU GEMTA , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Kumpulan separa tentera Sudan, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), telah dilaporkan melakukan kekejaman terhadap orang awam setelah menduduki bandar El Fasher, kubu kuat tentera di bahagian barat negara itu pada hujung Oktober 2025. Walau bagaimanapun, imej yang tersebar di media sosial dengan dakwaan ia menunjukkan seorang wanita Sudan melindungi anaknya daripada lelaki bersenjata sebenarnya telah dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Saat terakhir di dalam kehidupan seorang ibu ini dan anaknya sebelum dibunuh oleh RSF di Sudan yang disokong dengan senjata dan duit oleh UAE, USA, Russia, Ukraine dan China," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 29 Oktober 2025.
Gambar yang dikongsi lebih 1,000 kali itu menunjukkan seorang ibu dan anak berpelukan di dalam sebuah parit sambil diancam oleh kelibat bayang-bayang orang bersenjata.
RSF telah berperang dengan tentera Sudan yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan sejak April 2023.
RSF yang diketuai Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo telah menduduki bandar El-Fasher -- kubu terakhir tentera yang bertahan di wilayah Darfur barat -- pada 26 Oktober 2025 susulan pengepungan selama 18 bulan yang melibatkan pengeboman tanpa henti dan krisis kebuluran yang meluas (pautan arkib).
RSF dituduh melakukan pembunuhan besar-besaran dan kekejaman lain di El-Fasher (pautan arkib). Mangsa terselamat yang tiba di bandar berhampiran Tawila memberitahu AFP adegan ngeri orang awam dibunuh, kanak-kanak ditembak di hadapan ibu bapa mereka, dan orang ramai dipukul serta dirompak ketika menyelamatkan diri.
Tentera negara itu kini menguasai wilayah utara, timur dan tengah, termasuk ibu kota Khartoum dan Pelabuhan Sudan, manakala RSF menguasai sebahagian besar selatan dan seluruh Darfur di barat, di mana ia telah menubuhkan pentadbiran saingan di Nyala.
Pada 31 Oktober 2025, kumpulan separa tentera itu mengumumkan bahawa mereka telah menangkap beberapa anggotanya yang didakwa melakukan penderaan ketika menawan El-Fasher (pautan arkib).
Dalam satu video yang disemak AFP, seorang pejuang dilihat menembak lelaki tidak bersenjata dari jarak dekat. Satu lagi klip menunjukkan dia berdiri dalam kalangan pejuang RSF meraikan puluhan mayat dan kenderaan terbakar.
Imej ibu memeluk anaknya itu juga disiarkan sebagai tulen oleh akaun Facebook lain dan Instagram. Ia juga disiarkan dalam bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Perancis dan Afaan Oromo -- salah satu bahasa utama diguna pakai di Ethiopia.
Namun, imej wanita dan kanak-kanak itu tidak tulen.
Janaan AI
Hasil semakan pada imej itu mendapati terdapat teks "@khoubaibf.bz" padanya.
Carian dalam talian nama itu membawa kepada akaun Instagram yang sepadan, dimana pada bio akaun itu tertulis "Pakar Kreatif AI" (pautan arkib).
Akaun itu kerap menyiarkan imej janaan AI mengenai pelbagai topik, termasuk konflik di Timur Tengah.
Akaun sama turut berkongsi imej berkenaan, tetapi sebagai dalam bentuk animasi. Klip itu menunjukkan ibu dan anak bergerak, namun bayang-bayang lelaki bersenjata itu statik -- tanda anomali yang biasa ditemui dalam video janaan AI (pautan arkib).
Siaran itu, yang diterbitkan pada 29 Oktober 2025 dan mendapat lebih 109,000 tanda suka, disertakan dengan kapsyen secara jelas menyatakan bahawa ia dijana menggunakan AI dan mengandungi tiga tanda pagar: "#Sudan #ElFasher #Darfur".
Teks berbahasa Arab yang disunting pada klip itu berbunyi: "Al Fasher sedang dihapuskan secara senyap." Bahagian ini telah dipotong dalam imej dalam siaran-siaran palsu itu.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta beberapa dakwaan yang menyiarkan kandungan janaan AI.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami