Imej lama operasi menyelamat ini tiada kaitan dengan bot karam di perairan Langkawi
- Diterbitkan pada hari 17/11/2025 jam 04:06
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Sekurang-kurangnya 32 orang maut selepas bot yang membawa pendatang asing tanpa izin dilaporkan karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand pada November 2025. Ketika seramai 14 orang terselamat, siaran media sosial yang memberi maklumat terkini tentang insiden itu berkongsi foto lama yang sebenarnya menunjukkan pendatang asing diselamatkan di Laut Mediterranean pada 2021.
"Sekurang-kurangnya 11 warga Rohingya disahkan meninggal dunia selepas kapal yang membawa kira-kira 70 penumpang itu karam berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pagi tadi," bunyi sebahagian kapsyen Facebook dikongsi pada 10 November 2025.
Siaran itu berkongsi satu imej yang menunjukkan beberapa orang memakai jaket keselamatan berpaut pada bot getah berwarna jingga. Kelihatan dua buah lagi bot yang dipenuhi dengan lebih ramai orang memakai jaket keselamatan di belakang. Teks pada gambar itu mengulangi kandungan siaran terbabit.
Siaran itu muncul selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 70 penumpang pendatang asing tanpa izin disyaki karam di Pulau Tarutao di Thailand pada 6 November. Pihak berkuasa marin berkata mereka mungkin sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar iaitu kira-kira 300 orang berlepas dari Myanmar sebelum berpisah kepada dua buah kapal.
Angka kematian akibat kapal karam itu meningkat kepada 32 orang selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemukan lima lagi mayat pada 12 November di sekitar sebuah resort di Langkawi (pautan arkib).
Mangsa terselamat yang terdiri daripada warga Bangladesh dan Rohingya semuanya ditemui di perairan negara ini.
Rohingya telah dianiaya di Myanmar selama beberapa dekad dan ribuan mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun untuk melarikan diri dari penindasan dan perang saudara, selalunya menaiki bot sementara.
Gambar sama telah dikongsi dalam siaran di Instagram, TikTok dan X yang memberikan kemas kini mengenai operasi mencari dan menyelamat itu, tetapi ia sebenarnya tidak menunjukkan pendatang tanpa izin itu diselamatkan oleh Maritim.
Gambar lama
Carian imej terbalik Google membawa kepada artikel yang pernah diterbitkan oleh Associated Press (AP) pada 17 Oktober 2025 yang menggunakan imej yang sama (pautan arkib).
Menurut kapsyen, gambar itu menunjukkan para pendatang yang jatuh ke dalam air diselamatkan oleh penyelamat kemanusiaan sekitar 35 batu (56 kilometer) dari Libya di Laut Mediterranean pada 18 Oktober 2021.
Agensi foto Hans Lucas turut menerbitkan gambar yang diedarkan oleh AFP pada hari yang menunjukkan situasi yang sama.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 25,000 orang maut selepas cuba menyeberang dari Afrika Utara ke Eropah sejak 2014, menjadikannya laluan migrasi yang boleh membawa maut (pautan arkib).
Gambar yang diambil oleh AFP mengenai mangsa yang terselamat dari kapal karam 2025 itu juga tidak sepadan dengan imej yang digunakan dalam siaran palsu itu.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami