Imej 'Maduro ditangkap tentera AS' dijana AI
- Diterbitkan pada hari 09/01/2026 jam 09:34
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Colombia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Selepas pasukan khas Amerika Syarikat menahan pemimpin Venezuela, Nicolás Maduro, dan isterinya, Cilia Flores, dalam satu serbuan pada awal pagi 3 Januari 2026, media sosial dibanjiri dengan imej yang dikaitkan secara palsu dengan operasi tersebut. Antaranya termasuk satu foto yang kononya menunjukkan presiden yang digulingkan itu dikelilingi anggota tentera, tetapi ia sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Imej itu disiarkan selepas Maduro ditahan dalam satu operasi yang menyaksikan tentera AS menyerbu Caracas dan membawa keluar pemimpin autoritarian berhaluan kiri itu bersama isterinya dari negara itu (pautan arkib).
"Perdana menteri Venezuela Nicolaas Maduro dan isteri Di tangkap pasukan tentera unit elit delta force Amarika, dan dibawa ke kapal USS," bunyi siaran Facebook pada 4 Januari 2026.
Siaran itu menyertakan tangkapan skrin yang menunjukan seorang lelaki dengan tangannya digari dan dikelilingi dua orang askar.
Siaran serupa juga dikongsi oleh akaun Facebook lain dan dalam bahasa Indonesia.
Maduro dan isterinya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan "keganasan-narco" di sebuah mahkamah New York pada 5 Januari (pautan arkib).
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan "mentadbir" negara Amerika Selatan yang kaya dengan minyak itu ketika proses peralihan kuasa sedang berlangsung (pautan arkib).
Namun, imej yang tular dijana menggunakan AI.
Carian imej terbalik di Google menunjukkan imej itu "dihasilkan dengan Google AI". Alat AI Google, Gemini, turut mengesan tera air SynthID yang menurut syarikat itu bertujuan mengenal pasti kandungan AI yang dihasilkan menggunakan alat mereka pada gambar berkenaan.
Dalam imej AI tersebut, Maduro kelihatan lebih muda dengan rambut yang lebih hitam.
Versi terawal imej itu yang ditemui AFP dimuat naik di X oleh seorang pengguna bernama Ian Weber, seorang individu yang menggambarkan dirinya sebagai "peminat seni video AI" yang berpangkalan di Sepanyol.
Beliau memuat naik gambar itu hanya 20 minit selepas Trump mengumumkan operasi tersebut di Truth Social. Dalam satu balasan pada 5 Januari, Weber mengakui bahawa beliau mencipta imej itu menggunakan AI (pautan arkib).
Dalam satu temu bual menerusi X pada 6 Januari, Weber memberitahu AFP bahawa beliau menggunakan Nano Banana Pro, sebuah penjana imej alat Gemini, dan mengaku memotong tera air yang biasanya muncul di pada imej yang dihasilkannya. Beliau turut berkongsi dengan AFP versi asal imej tersebut yang masih memaparkan tera air.
"Saya tidak pernah menjangka ia akan menjadi gambar paling banyak dikongsi di seluruh dunia," katanya kepada AFP.
"Saya tak berniat mendakwa bahawa ini ialah gambar pertama Maduro ditahan."
Trump turut berkongsi satu imej di platform Truth Social pada 3 Januari yang menurutnya menunjukkan Maduro di atas kapal perang Amerika Syarikat, USS Iwo Jima, di mana Maduro kelihatan memakai pakaian seragam tahanan dan matanya ditutup (pautan arkib).
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan penangkapan Maduro di sini dan di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami