Klip lama dikongsi dengan dakwaan ia menunjukkan penyokong 'tuntut pembebasan Maduro'
- Diterbitkan pada hari 12/01/2026 jam 07:30
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Sachin BAGHEL, AFP India
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Penyokong Presiden Venezuela yang digulingkan Nicolas Maduro mengadakan protes di Caracas bagi menuntut pembebasannya selepas beliau ditangkap oleh komando Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2026, tetapi rakaman tular dalam talian tidak menunjukkan demonstrasi itu. Video itu telah dikongsi sejak November 2025 lagi dan sebenarnya menunjukkan acara di mana Maduro sendiri hadir.
"Demonstrasi besar-besaran menentang Amerika Syarikat berlangsung di ibu kota Venezuela, Caracas," tulis kapsyen pada siaran Facebook yang dikongsi pada 6 Januari 2026.
"Ribuan orang turun ke jalan untuk mempertahankan kedaulatan negara dan menuntut kebebasan Presiden Nicolas Maduro yang telah diculik."
Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan satu perhimpunan dengan orang ramai mengibarkan bendera Venezuela.
Ribuan orang berarak di Caracas pada 4 Januari untuk menyokong Maduro selepas komando AS menangkapnya dan isterinya Cilia Flores sebelum menerbangkan mereka ke Amerika Syarikat (pautan arkib).
Bekas timbalan Maduro, Delcy Rodriguez, mengangkat sumpah sebagai presiden sementara. Presiden AS Donald Trump berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengannya, selagi beliau menurut tuntutannya untuk memberikan syarikat AS akses kepada rizab minyak Venezuela yang besar (pautan arkib).
Siaran serupa juga disiarkan oleh akaun Facebook lain serta di Telegram.
Tetapi video dalam siaran salah itu tidak menunjukkan perhimpunan atau protes yang mendesak pembebasan Maduro.
Carian imej terbalik Google membawa kepada satu video disiarkan di TikTok pada 14 November 2025 yang menunjukkan adegan yang sama (pautan arkib).
Pengguna TikTok itu turut memuat naik satu lagi klip perhimpunan, menunjukkan trak dan bangunan yang sama (pautan arkib).
CNN melaporkan protes itu diadakan pada 13 November 2025 untuk belia negara itu, yang turut dihadiri oleh Maduro (pautan arkib). AFP telah menerbitkan gambar-gambar pemimpin Venezuela itu pada demonstrasi itu.
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan penangkapan Maduro di sini dan di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami