Imej 'Cilia Flores di mahkamah' ini dijana AI
- Diterbitkan pada hari 26/01/2026 jam 05:49
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Paula CABESCU, AFP Romania, AFP Nigeria
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Selepas bekas presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, ditahan oleh pasukan khas Amerika Syarikat dan dibawa ke mahkamah di New York pada 5 Januari 2026, satu imej yang kononnya menunjukkan Flores dengan mata lebam dan dahi berbalut mula tular di media sosial dalam pelbagai bahasa. Namun, imej tersebut berkemungkinan besar dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI). Walaupun Flores hadir di mahkamah dengan balutan pada wajahnya, lakaran mahkamah serta foto dan video media menunjukkan beliau berambut perang dan memakai pakaian berbeza.
"Inilah rupa isteri Maduro hari ini di ruang sidang mahkamah AS di New York…Seorang wanita berusia 70 tahun, kelihatan letih, berdiri sendirian di dalam kotak tertuduh," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook pada 8 Januari 2026.
Siaran itu berkongsi imej seorang wanita duduk di belakang mikrofon, memakai kaca mata, jaket gelap dengan baju merah, balutan di dahi, dan kesan lebam di pipi kiri.
Imej sama turut tersebar di Facebook dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis, Bulgaria, Greek, Thai dan Hindi.
Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedarkan dadah di sebuah mahkamah New York pada 5 Januari selepas mereka ditahan dalam satu operasi yang menyaksikan tentera Amerika Syarikat menyerbu Caracas dan membawa mereka keluar dari negara itu (pautan arkib di sini dan di sini).
Mereka direman dan perbicaraan susulan ditetapkan pada 17 Mac 2026.
Namun, imej yang tular itu tidak menunjukkan Flores, malah media tidak dibenarkan menangkap gambar dalam mahkamah ketika perbicaraan pada 5 Januari lalu.
Hanya lakaran
Media hanya dibenarkan melihat prosiding dari bilik khas, dengan lakaran mahkamah menjadi satu-satunya gambaran rasmi (pautan arkib).
Lakaran itu -- termasuk yang diterbitkan AFP -- menunjukkan Maduro dan Flores hadir dengan pakaian penjara berwarna biru dan oren, lengkap dengan fon kepala untuk mendengar terjemahan.
Lakaran juga jelas menunjukkan Flores berambut perang. Laporan AFP juga menggambarkan Flores sebagai mempunyai rambut perang yang diikat ketika hadir di mahkamah. Beliau juga tidak memakai kaca mata.
Beberapa agensi media turut melaporkan bahawa Flores memakai balutan di dahi dan berhampiran matanya akibat kecederaan yang dikatakan berlaku semasa penahanannya (pautan arkib di sini dan di sini).
Lakaran mahkamah menunjukkan balutan tersebut, dan lakaran lain oleh agensi Associated Press (AP) juga memaparkan perkara sama (pautan arkib).
Walaupun tiada gambar rasmi dari dalam mahkamah dikeluarkan, media menerbitkan foto pasangan itu semasa mereka dibawa ke mahkamah, termasuk imej daripada Getty Images yang menunjukkan Flores dengan rambut perang yang diikat serta lebam di dahi (pautan arkib).
Imej arkib AFP dari Januari 2025 juga menunjukkan ciri-ciri wajah Flores yang tidak sepadan langsung dengan wanita dalam siaran palsu yang tular.
Imej janaan AI
Imej tersebut mengandungi ciri-ciri visual tidak konsisten, seperti subang tidak sepadan dan balutan dahi yang diletakkan secara tidak realistik, menutupi sebahagian rambut.
Alat pengesan AI Hive Moderation menganggarkan 99.7% kebarangkalian bahawa imej itu "mengandungi kandungan dijana AI atau deepfake".
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan penangkapan Maduro di sini dan di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami