Tajuk berita disunting dakwa Teresa Kok sokong sijil halal untuk babi
- Diterbitkan pada hari 19/01/2026 jam 09:52
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Siaran media sosial menyasarkan Teresa Kok dengan tajuk berita palsu yang mendakwa beliau menyokong pensijilan halal untuk babi. Kok menafikan membuat kenyataan itu dan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan salah terbabit, manakala Berita Harian juga menafikan pernah menyiarkan laporan sedemikian.
Laporan yang diubah itu memaparkan imej ahli parlimen DAP itu dengan tajuk berita: "Sijil halal untuk babi adalah wajar."
Imej yang kononnya menujukkan artikel berita itu dikongsi di Facebook pada 14 Januari 2026, bersama kapsyen yang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan partinya PKR (pautan arkib).
"Ahh sudah...Apa kata geng2 PKR, Anwar Ibrahim.. ini yang korang mahukan..," tulis siaran itu.
Kok, yang dikenali dengan pandangannya yang lantang, sering menjadi sasaran atas kenyataannya, termasuk oleh ahli parti gabungan kerajaan.
Terbaharu, beliau memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda UMNO Akmal Salleh. Kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan penuh pada bulan depan (pautan arkib).
Akmal telah menggelar Kok sebagai "memalukan negara" selepas beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi kedai makan, tidak termasuk yang menghidangkan babi dan alkohol.
Dakwaan yang sama juga muncul di tempat lain di Facebook dan TikTok, tetapi laporan yang beredar itu sebenarnya adalah rekaan.
Carian kata kunci di Google membawa kepada artikel yang diterbitkan di laman web Berita Harian pada 15 Januari bertajuk: "Teresa buat laporan polis artikel palsu, Berita Harian perjelas tajuk artikel dimanipulasi" (pautan arkib).
"Tajuk artikel itu telah disunting, dimanipulasi dan diubah suai daripada siaran asal yang sebenar," kata Berita Harian.
Laporan itu juga menyertakan perbandingan tangkapan skrin artikel asal yang bertajuk "Siasatan mengenai sijil halal tak wajar" yang diterbitkan pada 9 September 2024 (pautan arkib).
Laporan 2024 itu menyatakan Kok mempertahankan kenyataannya tentang cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal susulan siasatan polis terhadap kes itu kerana beberapa laporan telah dibuat terhadapnya (pautan arkib).
Carian kata kunci yang berasingan menemui kenyataan diterbitkan di akaun Facebook rasmi Kok pada 14 Januari 2026 yang menegaskan bahawa siaran yang beredar itu adalah palsu.
"Saya dilemparkan fitnah lagi! Tolong sebar imej ini dan tolak berita palsu. Saya tidak pernah buat kenyataan ini!!" tulisnya.
AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu lain yang menggunakan laporan berita palsu atau rekaan di sini dan di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami