Imej janaan AI tular selepas Mahathir dimasukkan ke hospital
- Diterbitkan pada hari 22/01/2026 jam 08:54
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Selepas bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dimasukkan ke hospital akibat terjatuh di rumahnya pada 6 Januari 2026, beberapa imej yang kononnya menunjukkan beliau menjalani fisioterapi mula beredar di media sosial. Pegawai media beliau memberitahu AFP bahawa tiada foto daripada rawatan beliau di hospital telah dikeluarkan, dan alat pengesan, termasuk SynthID milik Google, menunjukkan imej berkenaan dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"TUN DR. MAHATHIR DALAM PROSES PEMULIHAN, JALANI FISIO DI IJN. KENALI TUN, DIA KUAT DAN TINGGI DISIPLIN," bunyi siaran Facebook pada 14 Januari.
Mahathir mengalami patah pinggul selepas terjatuh di rumah (pautan arkib).
Anaknya, Mukhriz Mahathir, berkata doktor menasihatkan agar pembedahan tidak dilakukan kerana faktor usia, sebaliknya memilih proses pemulihan standard.
Komen pengguna yang mendoakan kesihatan Mahathir menunjukkan ramai percaya imej itu tulen. Hantaran serupa turut tersebar di Facebook dan Threads.
Namun, imej yang tular itu tidak menunjukkan Mahathir di hospital.
Imej dijana AI
AFP memuat naik imej tersebut ke alat pengesanan Hive Moderation, yang mendapati imej itu 99.9 peratus "berkemungkinan mengandungi kandungan dijana AI atau deepfake" (pautan arkib).
Carian imej terbalik juga membawa kepada satu hantaran Facebook bertarikh 15 Januari yang berkongsi imej hampir sama, dengan tera air Gemini, alat AI Google.
Imej tersebut turut mengandungi visual tidak konsisten, ciri lazim kandungan AI, termasuk kedudukan katil yang tidak logik di wad dan monitor yang kelihatan tidak disambungkan kepada sebarang peralatan.
Dalam kedua-dua versi imej, Mahathir memakai pendakap pada kakinya, bukan pada pinggulnya -- tempat sebenar beliau mengalami kecederaan.
Analisis menggunakan pengesan SynthID Google, alat yang direka khusus untuk mengenal pasti kandungan dijana AI, menunjukkan tahap keyakinan “sangat tinggi” bahawa imej itu dihasilkan menggunakan alat syarikat tersebut (pautan arkib).
Pegawai media Mahathir, Sufi Yusoff, mengesahkan imej berkenaan dijana AI.
“Ia tidak menunjukkan Tun, kami belum mengeluarkan sebarang gambar setakat ini,” katanya kepada AFP melalui WhatsApp pada 19 Januari.
AFP sebelum ini pernah menafikan maklumat palsu yang muncul ketika Mahathir dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pada 2024.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami