Infografik pasport dan MyKad 'baharu' dijana AI

Beberapa hari selepas Menteri Dalam Negeri mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan pasport dan kad pengenalan berwajah baharu, satu grafik yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) telah dikongsi di media sosial dengan dakwaan palsu bahawa ia memaparkan reka bentuk dokumen baharu tersebut. Grafik berkenaan sarat dengan kesalahan ejaan dan tatabahasa, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan imej pasport dan MyKad yang didakwa itu tidak sahih.

"Passport & ic baru utk rakyat Malaysia," bunyi hantaran Facebook pada 10 Januari 2026 yang menyertakan infografik menunjukkan pasport biru yang memaparkan jata Malaysia dan kad pengenalan yang memaparkan bendera Malaysia.

Grafik itu turut menyertakan maklumat tentang tarikh pelaksanaan, kaedah permohonan dan kos.

Imej tersebut muncul selepas Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan pada 8 Januari bahawa kerajaan merancang untuk memperkenalkan pasport dan kad pengenalan baharu dengan ciri keselamatan dipertingkatkan pada tahun ini (archived link).

Beliau menjelaskan setiap dokumen keselamatan mempunyai kitaran penggantian tertentu dan kemas kini diperlukan bagi mengekalkan integriti.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 14 Januari 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa juga disiarkan di  Facebook dan Instagram, dan juga dikongsi dalam siaran bahasa Thai.

Namun sehingga 14 Januari, kerajaan belum mengeluarkan sebarang imej rasmi bagi pasport dan kad pengenalan baharu.

Pemeriksaan teliti mendapati infografik yang tular mengandungi tera air alat AI Google, Gemini, di sudut kanan bawah.

Imej itu juga mempunyai banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa -- ciri lazim kandungan dijana AI.

Image
Tangkapan skrin dengan kesalahan ejaan dan tera air Gemini yang diserlahkan dalam warna merah oleh AFP

KDN dalam hantaran di Facebook rasmi pada 13 Januari menafikan kesahihan imej tersebut dan menggesa orang ramai merujuk saluran rasmi untuk maklumat lanjut (pautan arkib).

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu yang tular di media sosial bukanlah imej rasmi dan tidak dikeluarkan oleh KDN," katanya dalam kenyataan itu.

"Rekaan visual itu tidak sahih dan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar passport atau MyKad baharu seperti yang didakwa."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami