Syarikat pengeluar minuman Sarsi tolak dakwaan produk berhasil rawat batuk

Pengeluar minuman F&N yang berpangkalan di Singapura menolak dakwaan atas talian bahawa minuman berkarbonat Sarsi apabila direbus dan diminum dapat merawat batuk. Pakar kesihatan berkata apa-apa kelegaan daripada petua itu mungkin disebabkan oleh kesan plasebo atau sirap yang melapisi rongga tekak. Mereka menggesa orang yang mengalami batuk berterusan untuk mendapatkan bantuan perubatan yang sewajarnya. 

"SARSI BOLEH HILANGKAN BATUK. Sejak dari tu bila batuk Mama dah tak beli ubat batuk.. Beli sarsi,Rebus kejap aje. tunggu suam.. boleh minum..," bunyi sebahagian kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 22 Januari 2026. 

Siaran serupa yang mendakwa rawatan itu boleh membantu melegakan batuk tersebar sejak 2023 dan muncul semula pada 2025 di Instagram serta di TikTok dan Threads.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 29 Januari 2026 dengan tanda X merah ditambah AFP

Bagaimanapun F&N Sarsi hanya minuman ringan yang tidak mengandungi sebarang formula perubatan dan tidak dipasarkan untuk merawat atau melegakan batuk atau sebarang keadaan perubatan lain, kata wakil cawangan Malaysia F&N Holdings Bhd (pautan arkib).

"F&N Holdings Bhd tidak mengesahkan atau menyokong penggunaan F&N Sarsi untuk sebarang tujuan perubatan atau penyembuhan," kata wakil komunikasi syarikat itu kepada AFP pada 18 Disember 2025.

Dalam pada itu, pakar kesihatan memberitahu AFP bahawa minuman itu tidak mempunyai sebarang khasiat perubatan.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pakar kesihatan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu AFP melalui WhatsApp pada 27 Januari: "Saya tidak fikir ia mengandungi sebarang khasiat perubatan atau melegakan batuk" (pautan arkib).

Katanya, perasaan pulih selepas minum minuman ringan yang setelah direbus itu boleh menjadi "kesan plasebo atau kebetulan".

"Mengambil minuman Sarsi mungkin menimbulkan rasa selamat yang salah, sedangkan sebenarnya penghidapnya mungkin perlu menjalani penyiasatan dan pemeriksaan yang sewajarnya," tambahnya, sambil menggesa orang yang mengalami batuk berpanjangan untuk mendapatkan ujian lanjutan termasuk pengimejan kahak, darah atau badan seperti yang disarankan oleh doktor.

Dr Thurein Hlaing Win, pengurus laman web kesihatan Myanmar, Hello Sayarwon, juga menggesa orang yang mengalami batuk selama lebih dua minggu untuk mendapatkan diagnosis perubatan yang betul untuk mencari punca, yang mungkin akibat asma, penyakit refluks gastroesophageal atau jangkitan (pautan arkib).

"Rawatan ini tiada manfaat perubatan. Sebarang kelegaan sementara yang dialami mungkin disebabkan oleh sirap yang menyaluti tekak (kesan lega pada radang) atau kesan plasebo. Ia tidak melawan jangkitan atau merawat masalah pernafasan," katanya kepada AFP dalam e-mel pada 23 Disember 2025.

Beliau juga memberi amaran bahawa merebus minuman ringan akan menghilangkan air dan karbonasi untuk menghasilkan sirap gula yang panas dan pekat yang boleh menyebabkan pengambilan gula berlebihan.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain berkata kebanyakan batuk akan hilang dengan sendirinya dalam masa tiga hingga empat minggu (pautan arkib).

Ia mengesyorkan pesakit berehat dan minum air banyak selain tinggal di rumah sekiranya demam.

Petua-petua kesihatan bagi merawat penyakit ringan sering beredar di media sosial dan AFP sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pati Sunquick dan bawang boleh digunakan untuk merawat batuk.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami