Klip salji tebal di Kamchatka dijana AI

Kawasan Semenanjung Kamchatka di timur jauh Rusia hampir lumpuh akibat salji lebat yang menimbus kereta dan bangunan, tetapi klip yang  kononnya menunjukkan timbunan salji setinggi beberapa tingkat sebenarnya dijana oleh kecerdasan buatan (AI). Klip yang mengandungi tanda tidak konsisten pada visual itu dikesan berasal daripada imej yang dikongsi di Threads, di mana pemilik akaun tersebut mengakui ia dihasilkan menggunakan chatbot AI Grok.

"APOKALIP SALJI KAMCHATKA," bunyi sebahagian siaran Facebook yang dikongsi pada 20 Januari 2026.

Siaran itu menunjukkan gabungan beberapa video timbunan fenomena salji luar biasa, ada yang kelihatan menimbus keseluruhan blok pangsapuri.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 27 Januari, 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa turut beredar di Facebook dan TikTok selain juga tersebar dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Greek, Belanda dan Romania.

Klip itu tular ketika Kamchatka mencatatkan taburan salji paling lebat sejak 1970-an pada minggu-minggu awal Januari 2026, menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat, menutup sekolah dan memaksa perniagaan beralih kepada kerja dari rumah (pautan arkib di sini dan di sini).

Dua orang maut akibat salji yang jatuh dari bumbung. Imej yang dikongsi pihak berkuasa Rusia menunjukkan timbunan salji setinggi dua tingkat serta penduduk menggali jalan di antara kenderaan yang tertimbus.

Image
Gambar edaran Kementerian Situasi Kecemasan Rusia pada 15 Januari 2026 ini menunjukkan pasukan penyelamat Rusia menggali rumah yang tertimbus salji tebal di wilayah Kamchatka di timur jauh negara itu. (RUSSIAN EMERGENCY SITUATIONS MINISTRY / Handout)

Namun, klip yang tular itu tidak berkaitan dengan kejadian sebenar di Kamchatka.

Analisis pada visual menggunakan alat Hive Moderation mendapati empat klip dalam video tersebut "berkemungkinan besar mengandungi kandungan dijana AI atau deepfake" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin analisis alat Hive Moderation

Terdapat juga tanda-tanda tidak konsisten pada visual yang menunjukkan ia bukan rakaman sebenar, termasuk permukaan salji yang terlalu licin dan simetri, bentuk salji yang menegak dengan cara tidak realistik serta butiran seni bina seperti tingkap dan balkoni yang kelihatan terherot -- ciri-ciri biasa pada kandungan AI.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu dengan tanda-tanda tidak konsisten pada visual ditanda dengan kotak merah oleh AFP.

Carian imej terbalik membawa kepada beberapa imej yang dikongsi dalam satu hantaran Threads berbahasa Rusia pada 17 Januari oleh seorang pengguna bernama "ibotoved", yang menulis kapsyen "Kamchatka today".

Klip tular itu kelihatan sebagai versi animasi imej tersebut.

Pemilik akaun itu kemudian mengakui dalam ruang komen bahawa imej itu dijana menggunakan Grok -- pembantu AI keluaran xAI -- selepas beberapa pengguna mempersoalkan ketulenannya.

Pada 20 Januari, ibotoved sekali lagi memuat naik hantaran di Threads, mengaku imej tersebut palsu dan menyifatkannya sebagai "usikan", sambil menyatakan bahawa "jutaan orang mempercayai foto palsu itu".

Dia turut memuat naik video yang menggabungkan pemandangan musim sejuk biasa dengan imej yang dilebih-lebihkan, disertai kapsyen berbahasa Rusia: "Jangan percaya semua yang anda lihat". 

AFP menghubungi pengguna tersebut pada 20 Januari tetapi belum menerima maklum balas setakat ini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami