Siaran palsu dakwa India laksana sekatan pergerakan akibat virus Nipah

Siaran palsu berkongsi imej janaan kecerdasan buatan (AI) tular di media sosial dengan dakwaan kerajaan India melaksanakan sekatan perjalanan selepas dua kes virus Nipah dilaporkan di Bengal Barat. Namun setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan, manakala Kementerian Kesihatan negara itu berkata jangkitan virus itu berada dalam kawalan.

"Pihak berkuasa India mengeluarkan arahan sekatan pergerakan (lockdown) kecemasan selepas dikesan penularan virus Nipah di beberapa kawasan," bunyi siaran Facebook pada 28 Januari 2026. 

Hantaran itu menyertakan imej yang memaparkan anggota polis bersenjata menjaga sebuah jalan dipenuhi ambulans, sementara petugas kesihatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) berjalan melaluinya.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di ambil pada 30 Januari 2026 dengan X merah di tambah oleh AFP

Hantaran serupa turut dikongsi di Facebook dan Instagram selepas pihak berkuasa India mengumumkan mereka telah memastikan keadaan terkawal susulan dua kes jangkitan virus Nipah di Bengal Barat sejak Disember (pautan arkib). 

Menurut WHO, kes tersebut menandakan penularan wabak Nipah ketiga di Bengal Barat, selepas jangkitan di Siliguri pada 2001 dan Nadia pada 2007. Beberapa kes turut direkodkan di negeri Kerala.

Nipah merupakan virus zoonotik yang tiada vaksin dan mempunyai kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.

Kelawar buah dikenal pasti sebagai pembawa semula jadi virus tersebut, dan punca penularan virus itu. Simptom termasuk demam tinggi, muntah, dan penyakit pernafasan, manakala kes yang teruk boleh menyebabkan sawan serta radang otak yang membawa kepada koma.

Namun, tiada laporan rasmi atau kenyataan daripada pihak berkuasa India menunjukkan sekatan perjalanan telah dilaksanakan untuk membendung penularan virus, seperti yang didakwa dalam hantaran media sosial.

Tiada sekatan perjalanan

Carian kata kunci di Google membawa kepada kenyataan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga India bertarikh 27 Januari (pautan arkib). 

Kenyataan itu menyebut bahawa dua kes telah direkodkan sejak Disember dan langkah kesihatan awam telah dilaksanakan bagi mengekang penularan virus tersebut, tetapi tiada sebarang rujukan kepada pelaksanaan sekatan perjalanan.

"Pemantauan dipertingkatkan, ujian makmal dan siasatan lapangan dijalankan melalui kerjasama agensi kesihatan pusat dan negeri bagi membendung penularan virus," kata kementerian itu, sambil menambah bahawa tiada kes baru dikesan.

WHO pula berkata penilaian risikonya terhadap wabak di Bengal Barat berada pada tahap sederhana, dan tiada bukti menunjukkan peningkatan penularan dari manusia ke manusia. 

"Berdasarkan bukti semasa, WHO tidak mengesyorkan sebarang sekatan perjalanan atau perdagangan," katanya.

AFP menghubungi pihak berkuasa kesihatan India untuk mendapatkan komen, tetapi tidak menerima maklum balas. Seorang wartawan AFP di Delhi berkata tiada sekatan perjalanan di bandar itu mahupun di kawasan lain di India.

Analisis imej hantaran palsu menggunakan alat pengesan Hive Moderation menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi bahawa gambar tersebut “berkemungkinan mengandungi kandungan dijana AI atau deepfake” (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin analysis alat AI Hive Moderation

Kejanggalan visual turut mengesahkan ia bukan imej sebenar.

Van di sebelah kiri imej mempunyai perkataan "ambulance", tetapi piring satelit di atasnya tertulis "news". Wajah dua anggota polis dalam gambar juga kelihatan herot dan kabur, ciri lazim kandungan yang dijana AI.

Image
Tangkapan skrin imej palsu dengan visual tidak konsisten diserlahkan oleh AFP

AFP sebelum ini pernah menafikan beberapa dakwaan palsu lain berkaitan sekatan perjalanan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami