'Scammer' dalam talian menyamar sebagai PDRM tawar perkhidmatan pemulihan wang
- Diterbitkan pada hari 10/02/2026 jam 03:12
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
"Scammer" menyamar sebagai pegawai pusat anti jenayah, polis dan firma guaman di media sosial menyasar mangsa penipuan dengan menawarkan khidmat mendapatkan semula wang yang hilang. Mereka menggunakan akaun WhatsApp peribadi untuk memperdaya mangsa supaya membayar "yuran perkhidmatan", namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa tawaran seperti itu "bertujuan memerangkap mangsa buat kali kedua". Pusat pencegahan jenayah kewangan berkata agensi itu akan cuba dan mengesan wang yang hilang akibat penipuan, tetapi tiada jaminan bahawa mangsa akan mendapat semula wang mereka.
"Pernahkah anda menjadi mangsa penipuan dalam talian? Buntu dalam mendapatkan semula wang selepas ditipu? JSJK membantu memulihkan kerugian akibat penipuan laman web. Hubungi kami sekarang," bunyi iklan berbahasa Inggeris di Facebook yang disiar pada 29 Januari 2026.
Iklan itu, yang turut dikongsi di Instagram dan Facebook Messenger, mendakwa perkhidmatan yang disediakan untuk mangsa yang pernah ditipu, disokong oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pautan yang disertakan dalam iklan itu membawa pengguna kepada akaun Facebook Messenger yang kononnya adalah peguam.
Puluhan siaran antara November 2025 dan Januari 2026 berkongsi dakwaan serupa dan disertakan dengan pelbagai imej atau grafik yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ini termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, bekas setiausaha polis Noorsiah Mohd Saaduddin dan bekas pegawai JSJK Rahmat Fitri Abdullah. Terdapat juga siaran yang menyamar sebagai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Beberapa akaun palsu itu menyediakan pautan ke nombor telefon WhatsApp yang berbeza -- sesetengahnya menggunakan imej pegawai polis sebagai gambar profil -- yang kononnya orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut.
AFP menghubungi salah satu nombor dan diberikan borang pesanan yang meminta butiran peribadi, termasuk nama penuh, jenis kes penipuan, jumlah wang yang hilang dan butiran akaun bank.
Penipu yang menyamar sebagai pegawai polis itu berjanji untuk memperoleh semula wang yang hilang akibat kes penipuan, tetapi hanya selepas bayaran pemprosesan sebanyak RM350 dibayar.
'Tidak berdaftar, tidak bertauliah'
JSJK melabelkan perkhidmatan tersebut sebagai "scam" dalam siaran Facebook pada 29 Januari (pautan arkib).
"Kebanyakan pihak ini tidak berdaftar, tidak bertauliah dan bertujuan untuk memerangkap mangsa buat kali kedua, termasuk dengan meminta bayaran pendahuluan," kata kenyataan itu.
JSJK mengingatkan pengguna bahawa tiada jaminan wang yang hilang akibat penipuan itu boleh dipulihkan dan menggesa mereka untuk mengesahkan kesahihan peguam melalui Persatuan Peguam Malaysia.
Tambahnya, pihak berkuasa tidak menggunakan akaun WhatsApp peribadi atau persendirian atau meminta sebarang bayaran pendahuluan daripada mangsa untuk menjalankan siasatan atau mendapatkan semula wang yang ditipu.
Dalam pada itu, laman web NSRC menasihatkan mangsa supaya membuat laporan kepada syarikat bank mereka atau di talian hotline 997 dan kemudian membuat laporan polis sebaik sahaja penipuan dikesan (pautan arkib).
"Tiada jaminan bahawa anda akan mendapat semula wang anda," katanya, sambil menambah pusat itu akan menyelaraskan tindak balas oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.
Pihak berkuasa hanya akan menghubungi mangsa yang telah membuat laporan kes penipuan dan tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi, seperti nama pengguna, kata laluan, PIN atau Kod Laluan Sekali Guna (OTP).
AFP menghubungi Pengarah JSJK Bukit Aman Rusdi Isa untuk mendapatkan ulasan lanjut, tetapi tiada respon diberikan.
AFP berulang kali menafikan siaran penipuan yang menyamar sebagai pelbagai pihak berkuasa, menawarkan untuk menyediakan perkhidmatan permohonan pasport dan visa dan "lesen memandu tanpa ujian" serta video "deepfake" menyalahgunakan imej kerabat diraja yang kononnya menawarkan "bantuan tunai" di media sosial.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami