Kit ujian Covid-19 tidak boleh digunakan dengan air, kata pengeluar

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 06/07/2021 pukul 10:43
  • Dikemas kini pada hari Rabu 07/07/2021 pukul 03:57
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video yang dikongsikan secara meluas di pelbagai catatan di Facebook, YouTube dan Twitter dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan air paip diuji positif untuk Covid-19. Dakwaan itu tidak benar. Pengeluar kit ujian menjelaskan bahawa alat ujian “tidak boleh digunakan dengan air atau makanan atau cecair lain”.

Video itu disiarkan pada 21 Jun 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 7,400 kali.

Video berdurasi dua minit 43 saat itu menunjukkan seseorang mengoyak pakej yang mengandungi alat ujian pantas Covid-19 dari Abbott, mengujinya dengan air terus dari paip, dan menerima dua garisan yang menunjukkan hasil positif.

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 6 Julai 2021

Kapsyen catatan Facebook tersebut menyatakan: “Ujian Covid 19 yang di palsukan. Air paip biasa pun boleh positif Covid19.

“Kenapa Mau tipu? Hanya semata2 Perniagaan Ubat?”

Teks yang ditindihkan di atas video berbunyi: “Swab Uji Tes Antigen Dengan Tetes Air Keran Dan Apa Yang Terjadi Air Keran Positif Covid-19

“Bagikan Video ini Sehingga Seluruh Dunia Tahu Dan Menyadari Bahwa Tes Ini Benar-Benar Penipuan!”

Abbott Laboratories ialah syarikat alat perubatan dan penjagaan kesihatan yang berpusat di Amerika Syarikat (AS). Ia adalah salah satu daripada sejumlah syarikat yang mengeluarkan alat ujian pantas untuk mengesan Covid-19.

Video itu juga dikongsi di Facebook dengan dakwaan serupa di sini.

Rakaman itu juga muncul dengan dakwaan serupa dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris di Facebook di sini, di Twitter di sini and di BitChute di sini.

Ia juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Twitter di sini dan dalam bahasa Hindi di YouTube di sini.

Dakwaan itu tidak benar kerana alat ujian Covid-19 itu tidak digunakan dengan betul.

Pemeriksaan yang lebih mendalam ke atas rakaman video mendapati bahawa alat ujian pantas yang digunakan oleh orang tersebut ialah Alat Ujian Pantas Antigen COVID-19 Panbio yang dihasilkan oleh Abbott. Alat ujian itu hanya untuk kegunaan profesional dan untuk digunakan dengan sampel sapuan hidung atau nasofaring.

Apabila dihubungi oleh AFP pada 28 Jun 2021, seorang jurucakap Abbott menyatakan: “Alat Ujian Pantas Ag COVID-19 Panbio digunakan untuk sampel yang dikumpulkan dengan sapuan hidung atau nasofaring yang dimasukkan ke dalam lubang hidung seseorang. Panbio Ag tidak boleh digunakan dengan air atau makanan atau cecair lain.

“Apabila digunakan seperti diarahkan, ia adalah ujian yang sangat tepat yang membantu mengesan COVID-19 di seluruh dunia dan boleh meningkatkan dengan ketara usaha untuk mengawal penularan penyakit.

“Penyebaran maklumat yang tidak sahih dengan penyalahgunaan produk perubatan yang disengaja semasa pandemik adalah mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.”

Berikut adalah set arahan dari Abbott yang diterbitkan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai cara menggunakan alat ujian pantas itu.

Image
Tangkapan skrin arahan untuk alat ujian pantas

Berikut adalah video pengajaran oleh Lembaga Perkhidmatan Kesihatan Wilayah (PHSA), pihak berkuasa kesihatan di British Columbia, Kanada.

Contoh lain yang memaparkan pengguna awam menggunakan alat ujian pantas dari Abbott boleh didapati dari media Singapura, The Straits Times dan Channel News Asia.

Di Malaysia, kit ujian pantas antigen (serta kit ujian pantas antibodi) hanya boleh digunakan oleh profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan dan terlatih kerana mereka dikawal selia di bawah Akta Peranti Perubatan 2012.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengeluarkan garis panduan ini untuk pengujian antigen, yang mengetengahkan: “Prosedur jaminan kualiti harus diikuti untuk mengelakkan pencemaran silang dan keputusan ujian yang tidak tepat. Contohnya, para pengguna harus mengikuti arahan pengeluar, serta panduan negeri dan tempatan, untuk bila dan berapa kerap untuk melakukan ujian pada spesimen kawalan.”

Sebelum ini, AFP menyemak dakwaan mengelirukan yang lain mengenai ujian-ujian pantas untuk Covid-19 di sini, sini, sini dan sini.

Benda-benda lain yang kononnya diuji positif untuk Covid-19 dalam dakwaan-dakwaan tidak benar tersebut termasuk suntikan selesema dan Coca-Cola.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami