Ini klip ribut di Taiwan pada 2024, bukan Taufan Ragasa

Taufan Ragasa membadai Filipina, Taiwan dan selatan China pada September 2025, membawa angin kencang dan hujan lebat. Namun rakaman yang menunjukkan beberapa orang bergelut melawan angin kencang di platform stesen kereta api tiada kena-mengena dengan ribut baru-baru ini. Video itu sebenarnya menunjukkan angin kencang yang tiba-tiba melanda stesen kereta api di bandar Shanwei di selatan China pada April 2024. 

"Selepas menghentam Filipina dengan kelajuan angin hingga 267 km/jam, Topan Ragasa bergerak ke Taiwan, Hong Kong, Makau, dan Provinsi Guangdong di China," bunyi siaran Facebook pada 24 September 2025. 

Video yang menunjukkan orang berpegang pada tiang ketika angin kencang bertiup di sebuah stesen kereta api telah ditonton lebih 2.2 juta kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 26 September 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Siaran serupa disiarkan di YouTube dan juga TikTok. Ia juga dikongsi dalam bahasa Cina, Inggeris, bahasa Poland dan Thai.

Taufan Ragasa, siklon tropika paling kuat di dunia setakat tahun ini, melanda Filipina, Taiwan, Hong Kong dan Macau sebelum menghala ke selatan China dengan kelajuan angin mencecah 145 kilometer sejam (pautan arkib). 

Ribut itu menumbangkan pokok, memusnahkan pagar dan meniup papan tanda bangunan di wilayah Guangdong, yang menempatkan berpuluh juta orang.

Seramai 14 orang terkorban di Taiwan manakala berpuluh lagi tercedera selepas sebuah tasik takungan di Hualien melimpah dan membanjiri sebuah pekan. 

Di Hong Kong pula, ombak besar melimpah ke kawasan pesisiran timur dan selatan hab kewangan Asia itu manakala lebih 700 penerbangan dibatalkan. 

Tetapi klip yang tular tidak kena mengena dengan Taufan Ragasa. 

Carian imej terbalik di Google membawa kepada berita yang diterbitkan oleh media Taiwan yang melaporkan tiupan angin kencang di stesen kereta api Shanwei di Guangdong pada 27 April 2024 (pautan arkib di sini dan di sini).

Klip yang sama juga dikongsi di Weibo pada 29 April 2024 (pautan arkib). Papan tanda bertulis "Stesen Kereta Api Shanwei" boleh kelihatan dalam tulisan Cina dan Inggeris pada permulaan video itu. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video yang dikongsi secara palsu (kiri) dan tangkapan skrin daripada laporan media Taiwan

Video itu sepadan dengan foto stesen yang digeotag di peta Google Maps (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan gambar daripada Google Maps

Portal berita dalam talian milik negara China, Nanfang Daily, menerbitkan laporan pada 23 September 2025 yang menafikan dakwaan bahawa video itu diambil semasa Taufan Ragasa (pautan arkib).

Laporan itu menyatakan pihak berkuasa Shanwei berkata cuaca stabil di stesen kereta api pada hari itu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami