Orang ramai menyerahkan dokumen sebelum menerima dos vaksin koronavirus Covid-19 di Universiti Aoyama di Tokyo pada 2 Ogos 2021 ( POOL / AFP / Stanislav Kogiku)

Jepun tidak berhenti menggunakan vaksin untuk memerangi Covid-19

Pelbagai catatan Facebook, Twitter, Telegram dan Reddit telah berkongsi dakwaan bahawa Jepun telah berhenti menggunakan vaksin-vaksin terhadap Covid-19 dan mempreskripsikan ubat anti-parasit, ivermectin, lalu menamatkan pandemik di negara itu "hampir semalaman". Namun, dakwaan itu tak benar. Jepun masih memberikan vaksin terhadap Covid-19. Pihak berkuasa Jepun tidak meluluskan Ivermectin sebagai rawatan terhadap Covid-19.

Dakwaan itu dikongsikan di Telegram di sini pada 30 Oktober 2021.

Image
Tangkapan skrin hantaran Telegram yang mengelirukan, diambil pada 12 November 2021

Hantaran Telegram tersebut mengandungi pautan kepada artikel dari laman web Rancangan Radio Hal Turner, sebuah program dari Amerika Syarikat (AS) yang berorientasikan konspirasi yang AFP pernah semak faktanya sebelum ini, yang mendakwa: "Jepun menamatkan pemberian vaksin, beralih ke Ivermectin, MENAMATKAN COVID hampir semalaman."

Artikel itu, boleh didapati di laman web rancangan radio itu di sini, berhujah bahawa Jepun adalah "benar-benar superstar di kalangan negara-negara asing yang menangani COVID", memetik khabar kononnya peralihan kepada Ivermectin dan penggantungan penggunaan vaksin.

"Jepun telah MENGHENTIKAN vaksin dan menggantikan Ivermectin - dan dalam satu bulan, menghapuskan COVID di negara itu!" artikel itu berbunyi.

Dakwaan itu tersebar dalam talian ketika kes harian Covid-19 di Jepun telah menurun secara drastik selepas gelombang jangkitan yang memuncak pada Ogos 2021 dan laporan masalah kesihatan yang disebabkan oleh orang yang meminum Ivermectin di AS dengan kepercayaan yang salah bahawa ia akan melindungi mereka daripada Covid -19 atau merawat penyakit maut.

Dakwaan itu juga muncul di Telegram di sini dan sini, serta di Facebook di sini.

Dakwaan serupa turut dikongsikan dalam pelbagai bahasa lain di Facebook termasuk bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa Vietnam.

Dakwaan yang sama juga muncul di Twitter, Reddit dan laman web lain seperti di sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tak benar.

Vaksin Covid-19 masih diberi di Jepun

Tiga vaksin Covid-19 — buatan Pfizer, Moderna dan AstraZeneca — masih diberi di Jepun, dengan statistik vaksinasi seperti yang dilaporkan di laman web Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini.

Data rasmi menunjukkan bahawa sehingga 14 November 2021, lebih daripada 194.3 juta orang yang tinggal di Jepun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, di mana lebih daripada 95.1 juta telah menerima dua dos.

Sehingga 15 November 2021, kira-kira 78.8 peratus penduduk Jepun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin terhadap Covid-19, menurut set data ini daripada projek Oxford, ‘Our World in Data’.

Kementerian Kesihatan Jepun telah meluluskan pemberian suntikan penggalak vaksin, iaitu dos ketiga vaksin Pfizer kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas pada 10 November 2021, bermula dengan kakitangan perubatan pada bulan Disember.

Jepun mencatatkan kurang daripada 200 kes baharu Covid-19 pada 14 November 2021, begitu juga pada hari sebelumnya.

Kes harian negara itu telah menurun, daripada kemuncaknya pada Ogos 2021, apabila jumlah kes harian melebihi 20,000 kes.

Para pakar yang bercakap kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dan New York Times mengkreditkan vaksin, penggunaan topeng muka yang meluas dan penjarakan sosial dalam kejayaan Jepun dalam membanteraskan pandemik itu.

Ivermectin tidak diluluskan sebagai rawatan

Ivermectin tidak disenaraikan oleh Agensi Peranti Perubatan dan Farmaseutikal Jepun (PMDA), yang menyelia peraturan ubat-ubatan di negara itu, sebagai rawatan untuk Covid-19, menurut laman webnya.

"Percubaan klinikal Ivermectin dilaporkan sedang berlangsung. Walau bagaimanapun, Ivermectin tidak diluluskan untuk kegunaan merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan SARS-CoV-2 (COVID-19)," kata jurucakap PMDA kepada AFP dalam e-mel pada 9 November 2021.

Norihisa Tamura, menteri kesihatan Jepun, memberitahu jawatankuasa dewan rendah parlimen negara itu pada Ogos 2021 bahawa lebih banyak bukti diperlukan untuk menunjukkan ubat itu berkesan supaya ia boleh dipreskripsikan untuk Covid-19.

Dakwaan serupa yang mengatakan bahawa Ivermectin telah diluluskan di Jepun mula tersebar selepas pengerusi Persatuan Perubatan Tokyo, Haruo Ozaki, menyokong penggunaan ubat itu dalam usaha memerangi koronavirus, seperti yang dilaporkan oleh media Jepun di sini dan sini.

Walau bagaimanapun, seperti yang dijelaskan dalam laporan AFP Fact Check bertarikh 8 September 2021 ini, Persatuan Perubatan Tokyo ialah badan perubatan bebas dan merupakan sebahagian daripada Persatuan Perubatan Jepun, yang hanya mempunyai kuasa untuk melobi kerajaan Jepun.

Sementara itu, pengumuman hasil kajian keberkesanan rawatan Ivermectin untuk pesakit Covid-19 pada 3 November 2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa “Ivermectin tidak mencegah penyakit Covid-19 daripada menjadi lebih serius” dan oleh itu, ia tidak disarankan sebagai rawatan Covid-19.

Dalam kenyataan media bertarikh 3 November 2021, KKM menyatakan bahawa "analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku di dalam kumpulan Ivermectin (IVM) berbanding kumpulan penjagaan standard (SOC); di mana kebanyakannya adalah kes cirit birit."

KKM juga memerhati bahawa "terdapat trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard, namun trend pengurangan ini tidak mencapai keputusan statistik yang signifikan.

"Berdasarkan hasil kajian I-TECH, Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan COVID-19 sedia ada kerana Ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit COVID-19 tahap teruk."

Jabatan Kesihatan Australia juga menjelaskan di laman webnya di sini bahawa "tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan ivermectin secara selamat dan berkesan" terhadap Covid-19.

"Lebih banyak ujian klinikal yang lebih teguh dan direka dengan baik diperlukan sebelum ia boleh dianggap sebagai pilihan rawatan yang sesuai," kata Jabatan Kesihatan itu.

Pada bulan September 2021, Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA), pengawal selia produk perubatan Australia, bertindak mengehadkan preskripsi ubat itu, sambil meluahkan kebimbangan bahawa Ivermectin oral sedang dipreskripsikan sebagai pencegahan atau rawatan Covid-19 pada dos yang terlalu tinggi.

"Dos yang lebih tinggi boleh dikaitkan dengan kesan sampingan yang serius, termasuk loya yang teruk, muntah, pening, kesan neurologi seperti pening, sawan dan koma," kata notis TGA.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami