Rakaman burung Texas disalah siar sebagai 'petanda buruk' di Tel Aviv

Satu video yang tular di pelbagai platform media sosial didakwa menunjukkan sekawan burung gagak memenuhi langit Tel Aviv pada Mac 2026 sebagai petanda buruk ketika perang yang dicetuskan oleh serangan AS‑Israel ke atas Iran memasuki bulan kedua. Namun, siasatan AFP mendapati rakaman itu sebenarnya dirakam pada Februari 2023 dan menunjukkan sekumpulan burung di kawasan tempat letak kereta Best Buy di Waco, Texas.

"Petanda apakah ini? Bandar di Israel dilapor menerima kunjungan ribuan burung gagak," bunyi siaran Facebook pada 25 Mac 2026. 

Teks pelakat pada video itu berbunyi: "Tel Aviv 'diserang' gagak".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 3 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Hantaran serupa turut tular di Facebook termasuk dalam bahasa Sepanyol dan Arab.

Hantaran-hantaran itu muncul ketika perang di Asia Barat -- yang bermula pada 28 Februari dengan serangan AS-Israel yang membunuh pemimpin tertinggi Iran dan menyaksikan Tehran melancarkan gelombang peluru berpandu balas ke atas Israel dan negara Teluk lain -- memasuki bulan kedua (pautan arkib).

Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres memberi amaran pada 2 April bahawa konflik itu berisiko berkembang menjadi perang yang lebih besar dan menggesa semua pihak menghentikan serangan serta-merta (pautan arkib).

Namun, dakwaan bahawa ribuan burung gagak membanjiri Tel Aviv sebagai petanda buruk sebenarnya menggunakan rakaman lama yang tidak berkaitan dengan perang.

Carian imej terbalik menemukan versi lebih panjang video yang sama yang dikongsi di Instagram dalam beberapa hantaran tahun 2024 yang menggambarkan adegan itu sebagai "serbuan burung gagak di Texas" (pautan arkib di sini dan di sini). Carian kata kunci di media sosial kemudian menemui versi lebih awal pada 3 Februari 2023 di TikTok (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran TikTok diambil pada 2 April 2026

Hantaran TikTok asal itu disertakan tanda pagar "crowsoftexas" dan "southforwinter", walaupun komen pengguna lain mencadangkan burung itu mungkin grackle -- spesies burung dari Amerika Utara dan Selatan yang sering disalah anggap sebagai gagak (pautan arkib).

Plat kenderaan Chevrolet yang kelihatan dalam video itu didaftarkan di Texas, sekali gus mengesahkan lokasi rakaman di negeri selatan Amerika Syarikat tersebut.

AFP turut mengesahkan lokasi itu dengan meneliti hantaran lain di akaun TikTok tersebut, termasuk rakaman padang bola sepak Amerika di Midway, Texas.

Dengan meneliti Google Maps untuk pasar raya besar dan kedai serbaneka di sekitar Midway, AFP kemudian memadankan tempat letak kereta, tiang utiliti dan bahagian hadapan bangunan yang kelihatan dalam video tersebut dengan imejan Google Street View bagi sebuah kedai Best Buy di Waco, Texas (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin siaran TikTok diambil pada 2 April 2026, dengan elemen yang ditanda oleh AFP
Image
Tangkapan skrin Google Street View diambil pada 2 April 2026, dengan elemen yang ditanda oleh AFP

AFP sebelum ini menafikan naratif palsu serupa yang mendakwa burung membanjiri tempat lain di seluruh dunia pada awal pandemik koronavirus.

AFP juga telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan perang di Asia Barat di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami