Ini video gegaran pada Januari 2024, bukan 'gempa bumi di Jepun' pada 2026

Susulan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada 20 April, satu video yang kononnya menunjukkan impak gegaran itu dikongsi secara salah di media sosial. Klip itu sebenarnya menunjukkan bencana lama yang melanda satu wilayah di bahagian barat Jepun pada awal tahun 2024.

"Gempa bumi kat jepun #earhquake," bunyi kapsyen pada sebuah video dikongsi di Facebook pada 21 April 2026. 

Klip itu yang merupakan rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kereta menunjukkan gegaran kuat sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan pada jalan raya.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 24 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Video itu turut dikongsi di Instagram, TikTok serta dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Cina, Inggeris, Jepun dan Thai.

Siaran terbabit muncul selepas Jepun -- yang dihuni kira-kira 125 juta penduduk dan salah satu negara paling aktif secara seismik di dunia -- dilanda gempa bumi berkekuatan magnitud 7.7 pada 20 April (pautan arkib).

Gempa itu menggegarkan utara Jepun dan menyebabkan tsunami setinggi 80 sentimeter (cm) di sebuah pelabuhan di Kuji di wilayah Iwate.

Video yang beredar dalam talian, bagaimamanapun, tidak menunjukkan kesan gegaran pada 20 April, yang dilihat tidak menyebabkan sebarang kerosakan besar (pautan arkib).

Gempa Noto pada 2024

Carian imej terbalik di Google pada video gegaran itu membawa kepada versi lebih panjang dan tidak dipotong yang telah dikongsi di YouTube oleh MBS News Jepun pada 11 Januari 2024 (pautan arkib).

Menurut kapsyen berbahasa Jepun itu, rakaman itu diambil semasa gempa bumi melanda Semenanjung Noto pada hari tahun baru (pautan arkib). Gempa bumi berkekuatan 7.5 magnitud itu adalah yang paling dahsyat di Jepun dalam tempoh lebih sedekad, meragut hampir 470 nyawa.

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dikongsi secara salah (kiri) dan video terbitan MBS News

Carian kata kunci berikutnya di Google mendapati klip serupa telah dikongsi pada 6 Januari 2024, oleh seorang pengguna X yang memperincikan pengalamannya berpindah bersama keluarganya semasa bencana itu (pautan arkib).

Rakaman itu sepadan dengan imej Google Street View di persimpangan di Anamizu, sebuah bandar di wilayah Ishikawa di pantai barat Jepun (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dikongsi secara salah (kiri) dan imej Google Street View, dengan bangunan sepadan ditanda AFP

Rakaman lama sering muncul semula dalam siaran media sosial yang mengelirukan apabila berlaku bencana alam dan AFP terdahulu menafikan dakwaan salah mengenai gempa bumi kuat melanda negara itu pada Disember 2025. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami