Imej peluru berpandu merah jambu dikaitkan dengan Iran ini hasil janaan AI

Ketika gencatan senjata selama dua minggu dilanjutkan susulan ketegangan konflik di Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan di Selat Hormuz, imej peluru berpandu merah jambu yang dijana dengan kecerdasan buatan (AI) muncul di media sosial dengan dakwaan ia dibuat atas permintaan seorang gadis Iran yang meminta ia ditembak ke Israel. Struktur peluru berpandu itu tidak mengikut bentuk logik, penganalisis konflik memberitahu AFP.

"Iran melancarkan peluru berpandu merah jambu di Tel Aviv selepas seorang budak perempuan memintanya," bunyi kapsyen imej pada siaran Facebook dikongsi pada 7 April 2026. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 22 April 2026 dengan X merah dan logo AI ditambah AFP

Gambar yang menunjukkan sebuah peluru berpandu berwarna merah jambu itu turut tular di Facebook, Instagram serta dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris dan Arab

Iran terperangkap dalam konflik Asia Barat yang meluas dengan AS dan Israel yang bermula pada 28 Februari, dengan gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan pada 7 April 2026 dilanjutkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (pautan arkib). 

Tetapi, rundingan damai yang diadakan di Pakistan berakhir tanpa persetujuan pada 12 April dan setakat ini tiada lagi rundingan yang selanjutnya.

Tentera AS juga memulakan sekatan pelabuhan Iran dalam usaha untuk menegaskan kawalan terhadap Selat Hormuz yang merupakan laluan perkapalan global utama (pautan arkib).

Tetapi imej peluru berpandu merah jambu itu tidak tulen.

Sifat imej yang sudah dipotong menjadikannya sukar untuk menentukan skala berbanding latar belakang, tetapi ciri-ciri mekanik pada senjata yang digambarkan tidak konsisten dengan peluru berpandu tulen.

Penganalisis konflik Afrika Selatan Darren Olivier memberitahu AFP pendawaian di bawah inskripsi itu tidak mempunyai tujuan mekanikal yang jelas.

"Struktur khusus peluru berpandu dan sambungan (komponen) tidak sepadan dengan mana-mana peluru berpandu Iran yang saya ketahui," kata Olivier. "Secara khususnya, pendawaian tidak seperti penyambung-penyambung yang dilihat pada mana-mana peluru berpandu balistik yang diketahui, milik Iran atau sebaliknya dan diihat tidak mengikut bentuk logik, kegagalan yang merupakan ciri biasa imej janaan AI."

AFP menyemak ketulenan imej itu melalui beberapa alat pengesanan kecerdasan buatan (AI). 

Hive Moderation mendapati 99.1 peratus kebarangkalian bahawa imej itu dijana AI.

Image
Tangkapan skrin menunjukkan keputusan alat pengesanan AI, Hive Moderation, diambil pada 13 April 2026 dan label AI ditambah AFP

Pengesan SynthID AI oleh Google mengesahkan imej itu dijana kecerdasan buatan menggunakan salah satu platform AI syarikat itu.

Image
Tangkapan skrin keputusan janaan SynthID, diambil pada 13 April 2026 dan label AI ditambah AFP

Walaupun peluru berpandu merah jambu yang kononnya milik Iran itu tidak tulen, peluru berpandu merah jambu yang sebenar memang wujud. Syarikat pertahanan Ukraine, Fire Point melancarkan FP-5 "Flamingo" pada Ogos 2025, dengan versi terdahulu mempunyai hulu peledak berwarna merah jambu, dilaporkan sebagai tanda kepada wanita yang menjalankan pengeluaran senjata itu (pautan arkib).

AFP telah menafikan gelombang maklumat palsu yang tercetus akibat ketegangan konflik di Asia Barat.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami