Dakwaan Trump intai nota Xi ketika jamuan di China adalah palsu

Rakaman video lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke China pada Mei 2026 telah tersebar luas di platform media sosial, termasuk satu klip yang mencetuskan dakwaan palsu bahawa Trump mengintai nota peribadi Xi semasa jamuan negara di Beijing. Namun, analisis AFP terhadap beberapa klip insiden tersebut mendapati fail itu sebenarnya memaparkan lambang presiden AS dan sebenarnya milik Trump sendiri.

"TRUMP CURI-CURI TENGOK NOTA XI JINPING. Pemerhati mendapati Trump mencondongkan badan untuk melihat buku nota rasmi Xi, yang mengandungi nota tulisan tangan bersaiz besar. Tak malu," bunyi siaran Facebook pada 16 Mei 2026. 

Klip berdurasi 22 saat itu menunjukkan Trump condong ke arah sebuah fail di atas meja, menyelaknya sebelum menutupnya semula. Teks bahasa Inggeris yang dipaparkan menyatakan: "Donald Trump mengintai buku nota Xi Jinping selepas presiden China itu beredar."

Image

Rakaman itu diambil pada 14 Mei semasa jamuan di Beijing, sebahagian daripada lawatan dua hari presiden AS ke China yang bertujuan meredakan ketegangan antara dua kuasa besar tersebut (pautan arkib).

Pengguna media sosial di China turut berkongsi pelbagai detik menarik melibatkan delegasi AS sepanjang lawatan itu, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio yang dilihat seakan mengagumi siling dewan tempat Trump dan Xi mengadakan pertemuan, jabat tangan selama 14 saat antara kedua-dua pemimpin, serta Elon Musk yang merakam video 360 darjah di luar lokasi semasa upacara sambutan (pautan arkib di sini dan di sini).

Dakwaan tersebut tular di Facebook dan TikTok. Ia juga beredar dalam pelbagai bahasa dan dilaporkan oleh sekurang-kurangnya sebuah organisasi media.

Analisis AFP terhadap rakaman itu mendapati fail berkenaan -- yang memaparkan lambang presiden AS -- sebenarnya milik Trump.

Rakaman jamuan yang disiarkan di saluran YouTube rasmi Rumah Putih menunjukkan fail tersebut sudah berada di atas meja sebelum kedua-dua pemimpin mengambil tempat duduk (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran langsung Rumah Putih bagi jamuan pada 14 Mei, dengan kotak merah ditambah oleh AFP

Xi kelihatan meninggalkan meja sekitar minit 2:10 untuk menyampaikan ucapan di podium. Trump pula dilihat membuka fail itu pada sekitar minit 2:25 dan menelitinya seketika.

Selepas Xi menamatkan ucapannya dan kembali ke tempat duduk, Trump berjabat tangan dengan pemimpin China itu sebelum membawa fail tersebut bersamanya ke podium.

Image
Tangkapan skrin siaran langsung Rumah Putih bagi jamuan pada 14 Mei, dengan bukti utama diserlahkan oleh AFP

Rakaman langsung daripada stesen penyiaran milik kerajaan China, Phoenix TV, turut menunjukkan detik Trump bangun dan mengambil fail itu bersamanya (pautan arkib).

Trump dan pegawai AS yang lain pernah menggunakan fail dengan lambang presiden AS yang sama dalam pelbagai majlis sebelum ini (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran langsung Phoenix TV pada 14 Mei (kiri) dan foto arkib AFP bertarikh 25 Ogos 2025, dengan kotak merah ditambah oleh AFP

Rumah Putih tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen AFP pada waktu laporan ini diterbitkan.

AFP sebelum ini turut menangkis pelbagai maklumat salah lain berkaitan Donald Trump dan lawatannya ke China.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami