Media tempatan, global salah guna gambar AI 'polis Thai menyamar sebagai penari'

Imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang dikongsi secara gurauan oleh polis Thailand yang memaparkan mereka sebagai penari kelab malam menarik perhatian global dan disiarkan semula sebagai gambar tulen oleh beberapa organisasi berita yang mendakwa ia menunjukkan taktik penyamaran dalam operasi dadah. Seorang pegawai memberitahu AFP bahawa imej itu dihasilkan untuk menonjolkan "sisi comel dan lucu" polis.

"Taktik sekumpulan anggota polis yang menyamar sebagai penari berjaya menumpaskan seorang pengedar dadah. Penyamaran itu dibuat oleh pasukan di Tha Luang, Lop Buri, Thailand," tulis kapsyen pada siaran Facebook yang dikongsi pada 26 Mei 2026. 

Tangkapan skrin artikel disiar berita tempatan itu memaparkan gambar sekumpulan pegawai polis memakai pakaian kostum berwarna-warni sambil berdiri dibelakang seorang suspek yang wajahnya dikaburkan.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 29 Mei 2026 dengan X merah dan logo AI ditambah oleh AFP

Imej itu dikongsi di media sosial dalam pelbagai bahasa dan turut mendapat liputan saluran media di Thailand dan di luar negara seperti The Telegraph, New York Post dan CNN Brazil

Imej itu, bagaimanapun, dijana AI.

'Imej lebih mesra'

Carian imej terbalik di Google membawa kepada imej sama disiarkan di akaun Facebook Balai Polis Wilayah Thaluang di wilayah Lopburi pada 21 Mei (pautan arkib).

"Kami pun tidak mahu buat operasi tangkapan ini -- sewa pakaian itu mahal," kata kapsyennya, sambil berkongsi butiran operasi itu.

Katanya, polis merampas sebanyak 53 pil methamphetamine, lebih 200 beg plastik kecil dan telefon bimbit yang didakwa ada kaitan dengan aktiviti haram mesin slot dalam talian.

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan siaran dikongsi Balai Polis Wilayah Thaluang, dengan simbol AI ditambah AFP

"Imej itu adalah AI," kata sarjan polis Rachata Mitrsuripong, pentadbir laman Facebook, kepada AFP pada 26 Mei.

Jelas Rachata, butiran lain dalam siaran itu adalah betul kecuali nama suspek.  Beliau menunjukkan AFP gambar asal, yang juga tidak mengandungi penari wanita seperti yang dilihat dalam versi janaan AI itu

Image
Gambar asal diperoleh AFP pada 26 Mei 2026

"Saya mahu menghasilkan imej polis yang lebih mesra, menunjukkan sisi comel dan jenaka, supaya orang ramai berasa lebih selesa mendekati pegawai," katanya.

Seorang lagi pegawai di balai polis itu juga memberitahu AFP bahawa Rachata menguruskan laman Facebook itu. Mereka menambah mereka tidak menyedari imej yang dijana AI telah tersebar luar sehingga ke media antarabangsa. 

Selepas pertanyaan AFP, laman Facebook balai polis itu menyiarkan imej asal bersama imej yang diubah suai (pautan arkib).

"Kalian semua, ini adalah yang sahih. (Yang sebelumnya) dijana AI, hanya untuk makluman," kata siaran dikongsi pada 27 Mei itu.

Analisis imej yang dikongsi secara salah itu menggunakan SynthID Detector -- alat dilancarkan oleh Google pada Mei 2025 untuk mengenal pasti kandungan janaan AI -- didapati dengan tahap keyakinan "sangat tinggi" bahawa ia dicipta dengan bantuan alatan AI (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin hasil SynthID Detector

AFP sebelum ini menafikan maklumat salah lain yang berkongsi kandungan dijana AI.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami