Siaran palsu dakwa 2 juta bayi lahir hasil perkahwinan Rohingya-Melayu

  • Diterbitkan pada hari 01/07/2026 jam 07:47
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia

Etnik Rohingya merupakan populasi pelarian terbesar di Malaysia dan kerap menjadi sasaran maklumat palsu, termasuk dakwaan terkini bahawa dua juta bayi dilahirkan hasil perkahwinan Melayu-Rohingya. Siaran palsu yang menuduh Rohingya mengeksploitasi sumber kerajaan itu berkongsi laporan berita rekaan dengan angka populasi rekaan dan seorang pakar memberitahu AFP rekod itu adalah "mustahil".

Grafik yang kononnya diterbitkan portal berita Malaysia Gazette itu dikongsi di Facebook pada 5 Jun 2026.

Ia memaparkan seorang lelaki memegang bayi, diapit oleh seorang wanita dan seorang lagi lelaki. Tajuk grafik itu berbunyi: "2 juta bayi dilahirkan di Malaysia hasil perkahwinan wanita Melayu dengan lelaki Rohingya".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 6 Jun 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Malaysia menempatkan lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNHCR (pautan arkib ).

Lebih 126,000 daripada jumlah itu adalah pelarian etnik Rohingya, menjadikan mereka populasi pelarian terbesar di negara ini.

Ratusan ribu Muslim Rohingya melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar dan melarikan diri ke Bangladesh serta negara-negara lain.

Sentimen anti-Rohingya yang terbaharu timbul susulan kontroversi penyembelihan lembu semasa sambutan Aidiladha, di mana komuniti itu dituduh membuang sisa haiwan ke dalam longkang berhampiran (pautan arkib). Ini mencetuskan petisyen yang menggesa penghantaran pulang pelarian itu (pautan arkib).

Siaran palsu serupa yang mengulangi dakwaan sama di FacebookInstagram dan TikTok, namun laporan berita yang disertakan itu adalah rekaan.

Carian kata kunci di Google menemui siaran Facebook Malaysia Gazette bertarikh 5 Jun 2026 yang menafikan portal itu pernah menerbitkan grafik tersebut (pautan arkib).

"MalaysiaGazette tidak pernah menerbitkan berita seperti di dalam poster," kata portal itu. 

Image
Tangkapan skrin kenyataan Malaysia Gazette

Carian imej terbalik di Yandex menemui satu blog dengan gambar seorang lelaki yang menyerupai salah seorang individu dalam grafik rekaan itu (pautan arkib).

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Abdul Hamim Ab Hamid, seorang etnik Rohingya yang menurut laporan dia sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan merogol seorang wanita (pautan arkib).

AFP tidak dapat mengenal pasti individu lain dalam grafik tersebut.

'Angka mustahil'

Selain itu, angka dua juta tersebut tidak disokong oleh data rasmi kerajaan.

Jabatan Perangkaan Malaysia merujuk AFP kepada data demografi terkini, yang menunjukkan sekitar 94,800 kelahiran direkodkan di negara ini bagi suku pertama tahun 2026 (pautan arkib).

Angka itu merangkumi kelahiran rakyat Malaysia dan bukan warganegara dan menunjukkan penurunan sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Kadar kelahiran mengikut beberapa tahun kebelakang menunjukkan trend menurun, menurut dokumen tersebut.

Laporan berasingan oleh jabatan itu menunjukkan jumlah kelahiran hidup adalah sekitar 414,900 pada tahun 2024, penurunan sebanyak sembilan peratus daripada 455,700 pada tahun sebelumnya (pautan arkib).

Selain itu, data UNHCR menunjukkan hanya sekitar 64,680 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun didaftarkan sebagai pelarian dan pencari suaka di Malaysia (pautan arkib).

Stuart Gietel-Basten, profesor sains sosial dan dasar awam di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, turut menolak dakwaan dua juta bayi itu.

Sekiranya keadaan itu berlaku dalam tempoh beberapa tahun, Gietel-Basten mengira bahawa setiap lelaki Rohingya "akan mempunyai bilangan anak yang mustahil, mungkin lebih daripada 40 orang".

"Sudah tentu, kesannya terhadap perkhidmatan awam mustahil untuk tidak disedari, terutamanya jika mereka tertumpu di kawasan di mana Rohingya lebih cenderung tinggal," katanya kepada AFP pada 23 Jun.

Lebih banyak laporan mengenai maklumat palsu berkaitan pelarian Rohingya boleh dibaca di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami