Kenyataan palsu sasar etnik Rohingya beredar dalam talian

  • Diterbitkan pada hari 09/07/2026 jam 09:20
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia

Aktiviti korban komuniti yang mencetuskan kontroversi telah menghidupkan semula sentimen anti-Rohingya di Malaysia susulan hantaran palsu yang mendakwa komuniti itu menuntut Selayang. AFP mendapati satu petikan dikaitkan dengan pemimpin Rohingya yang tidak wujud dan menggunakan imej dijana kecerdasan buatan (AI), manakala satu lagi berasal daripada akaun Instagram palsu yang menyamar sebagai seorang lelaki Rohingya di Amerika Syarikat yang menafikan pernah membuat kenyataan tersebut.

"Kami Tak Minta Banyak, Cukuplah Selayang Untuk Kami," bunyi teks pada grafik yang menyerupai berita, dikongsi  di Facebook pada 1 Jun 2026. 

Petikan itu dikaitkan dengan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai "Presiden Rohingya Malaysia" -- yang dilihat sedang berucap di hadapan mikrofon.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 22 Jun 2026, dengan simbol X dan logo AI merah ditambah AFP

Satu lagi siaran Facebook dikongsi pada 2 Jun menunjukkan kandungan Instagram daripada akaun "arakanprince_".

"Sebagai seorang Rohingya yang membesar di Selangor dan Malaysia, saya amat berharap agar orang Melayu akan diusir keluar dari Malaysia oleh orang Rohingya tidak lama lagi," kata pemilik akaun itu dalam bahasa Inggeris.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 22 Jun 2026, dengan X merah ditambah AFP

Malaysia menempatkan lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), termasuk kira-kira 126,000 Rohingya yang membentuk populasi pelarian terbesar di negara ini (pautan arkib).

Ratusan ribu Muslim Rohingya melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar dan melarikan diri ke Bangladesh serta negara-negara lain.

Sentimen anti-Rohingya yang terbaharu muncul di Malaysia berikutan aktiviti korban semasa sambutan Aidiladha pada hujung Mei, di mana komuniti itu dituduh membuang sisa haiwan di longkang berhampiran (pautan arkib).

Insiden itu mencetuskan satu petisyen menggesa etnik Rohingya di negara ini dihantar pulang ketika apa yang dikatakan kumpulan hak asasi bahawa kempen maklumat salah yang semakin meluas, menuduh kumpulan itu menuntut penempatan tetap dan hak istimewa (pautan arkib di sini dan di sini).

Memberi respons kepada gesaan penghantaran pulang, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata kerajaan perlu menyeimbangkan aspek keselamatan dan kemanusiaan dalam pengurusan pelarian (pautan arkib).

Siaran palsu yang mendakwa Rohingya mahukan penempatan tetap di daerah Selayang dan orang Melayu akan diusir keluar dari negara ini tersebar di platform lain seperti di FacebookInstagram dan TikTok.

Individu tidak wujud

NGO Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar menafikan kewujudan lelaki yang dipaparkan dalam gambar pertama yang tular itu.

Zafar Ahmad Abdul Ghani, presiden pertubuhan itu, berkata beliau tidak mengenali individu tersebut dan menafikan wujudnya jawatan "Presiden Rohingya Malaysia".

"Ini maklumat salah, palsu dan rekaan," katanya kepada AFP pada 16 Jun.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang sumber yang boleh dipercayai yang mengesahkan petikan dalam siaran palsu tersebut.

"Dalam situasi tiada pengesahan yang boleh dipercayai, dakwaan sedemikian perlu diambil dengan berhati-hati kerana penyebaran maklumat yang tidak disah boleh menyumbang kepada maklumat salah atau palsu dan tersebar dalam talian," kata seorang jurucakap agensi itu pada 18 Jun.

AFP tidak menemui laporan rasmi yang menunjukkan ketua kumpulan Rohingya sedemikian wujud di negara ini.

Hasil gabungan carian imej terbalik dan kata kunci mendapati grafik itu terdahulu dikongsi di halaman TikTok The Pandir Post pada 31 Mei, yang menyatakan akaun itu menerbitkan "berita satira" (pautan arkib).

Akaun itu melabelkan imej berkenaan sebagai mengandungi "media janaan AI". AFP menghubungi The Pandir Post, tetapi tiada maklum balas diterima. 

Analisis pada grafik itu menggunakan alat pengesanan OpenAI menunjukkan ia dihasilkan dengan model teknologi gergasi itu (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin analisis alat pengesanan OpenAI

Siaran Instagram rekaan

Sementara itu, siaran Instagram yang kononya daripada "arakanprince_" mengenai Rohingya mahu mengusir rakyat Malaysia keluar dari negara ini juga rekaan.

Tiada bukti siaran itu pernah diterbitkan oleh akaun berkenaan, yang dimiliki seorang etnik Arakan-Rohingya kelahiran Malaysia yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Analisis terhadap imej yang sedang beredar itu menemui beberapa keralatan pada visual. Tarikh hantaran tidak disertakan dan terdapat bahagian yang tidak tepat dari segi tatabahasa bahasa Inggeris di bawah kapsyen yang berbunyi: "View all 30 comment".

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram tulen dengan kesilapan ditandak AFP

Pencipta kandungan digital itu memberitahu AFP pada 15 Jun: "Imej yang sedang disebarkan itu tidak dicipta, dimuat naik, mahupun dikongsi oleh saya. Apa yang boleh saya sahkan adalah tangkapan skrin yang tersebar dalam talian itu secara salah mengaitkan kandungan tersebut dengan akaun Instagram saya."

Terdahulu, dia juga menolak dakwaan itu menerusi satu hantaran video Instagram di akaunnya (pautan arkib).

AFP telah menyangkal lebih banyak maklumat salah yang menyasarkan etnik Rohingya di negara ini di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami