Klip tentera Israel rosakkan gereja di Lubnan dijana AI
- Diterbitkan pada hari 19/06/2026 jam 05:55
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Rabih YOUNES, AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Beberapa minggu selepas seorang askar Israel dirakam merosakkan patung Jesus di Lubnan, sebuah video muncul yang memaparkan dua ornag tentera kononnya berbangga melakukan vandalisme terhadap sebuah gereja di bandar selatan Debl. Namun, pihak berkuasa tempatan Lubnan memaklumkan kepada AFP bahawa tiada gereja di bandar itu yang menyerupai seperti dalam video tular tersebut, manakala analisis pada rakaman itu mendapati ia dijana kecerdasan buatan (AI).
"Tentera pengganas Israel telah menerbitkan satu video yang menunjukkan diri mereka bermegah dan meraikan tindakan merosakkan sebuah gereja di bandar Debel di selatan Lubnan," bunyi siaran Facebook pada 3 Jun 2026.
Video itu menunjukkan dua askar berdiri di dalam sebuah gereja sebelum adegan bertukar kepada rakaman mereka dikelilingi serpihan dan menendang perabot yang rosak sambil ketawa.
Rakaman askar-askar menendang perabot itu turut dikongsi dalam beberapa siaran Facebook lain dengan sesetengah pengguna mendakwa gereja tersebut terletak di bandar Debl -- juga dieja Debel -- di selatan Lubnan.
Video itu juga tersebar luas di Timur Tengah serta di New Zealand.
Ia tersebar selepas satu gambar tular pada April memaparkan seorang tentera Israel menggunakan tukul besi untuk memukul kepala patung Jesus selepas ia terjatuh dari salib (pautan arkib).
Patung itu terletak di sebuah perkampungan Kristian di Debl selatan Lubnan, berhampiran sempadan Israel, pihak perbandaran tempatan memberitahu AFP, namun mereka tidak dapat mengesahkan sama ada berlaku kerosakan.
Tentera Israel berkata siasatan mendapati imej yang tersebar di media sosial itu adalah tulen dan menunjukkan seorang askar Israel yang beroperasi di selatan Lubnan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau "terkejut dan sedih apabila mengetahui seorang askar IDF merosakkan ikon keagamaan Katolik di selatan Lubnan" dan berjanji akan mengambil "tindakan tegas" (pautan arkib).
Namun, video yang menunjukkan dua askar merosakkan gereja di Lubnan itu sebenarnya dijana AI.
Visual tidak konsisten
Analisis terhadap video itu mendedahkan pelbagai unsur visual yang tidak selaras, dengan yang paling ketara adalah perbezaan pada seni dinding gereja serta ciri seni bina yang dipaparkan dalam rakaman "sebelum" dan "selepas".
Pada saat ke-10, kaki salah seorang askar juga hilang seketika ketika dia sedang menendang.
Menurut wartawan AFP yang fasih berbahasa Ibrani, suara askar-askar tersebut kedengaran pelik dan percakapan mereka tidak jelas.
Bukan gereja Debl
Datuk Bandar Debl, Akl Nadaf, memberitahu AFP pada 3 Jun bahawa tiada gereja seperti itu wujud di bandar tersebut.
Boutros al-Ra’i, ketua pentadbiran bandar itu, berkata Debl mempunyai dua gereja yang diketahui oleh penduduk -- satu lama dan satu baharu. Beliau turut memberikan gambar kedua-dua gereja kepada AFP untuk perbandingan.
"Tiada satu pun reka bentuk yang sepadan dengan apa yang dilihat dalam video tular itu," katanya.
Hany Kahwagi-Janho, profesor seni bina dan arkeologi di Universiti Holy Spirit Kaslik di Lubnan, berkata pada 5 Jun bahawa video tersebut merupakan "campuran pelik" unsur Byzantine dan Katolik, yang lazimnya tidak ditemui bersama dalam gereja (pautan arkib ).
Tambahnya: "Saya mengenali gereja-gereja di bandar Debl dan ia tidak menyerupai seperti yang terdapat dalam video tersebut."
AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan lain berkaitan Israel yang melibatkan kandungan hasil janaan AI.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami