Gambar mercu tanda 'Ipoh' bersama tulisan bahasa Cina hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 29/07/2026 jam 05:40
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Selepas Majlis Bandaraya Ipoh memaklumkan bahawa tulisan ikonik "Ipoh" di kawasan Gunung Lang, Perak diturunkan bagi tujuan penyelenggaraan pada Julai 2026, satu imej palsu mula tersebar dalam talian menerusi hantaran yang mendakwa mercu tanda tersebut dipasang semula dengan tambahan tulisan Cina. Analisis menggunakan alat pengesan mendapati imej berkenaan dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), manakala pihak majlis bandaraya turut mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah palsu.
"Wow...Ipoh Beijing ok," bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 24 Julai 2026.
Siaran itu turut berkongsi tangkapan skrin daripada satu lagi hantaran yang berbunyi: "Dah hilang kenangan. Dulu turun dari Pulau, akan sampai IPOH. Sekarang wujud sebahagian dari daerah Beijing."
Gambar pada siaran itu menunjukkan papan tanda "Ipoh" dalam bahasa Melayu dan Cina di Jalan Kuala Kangsar pada waktu malam, dengan sebuah kren kelihatan berhampiran sebuah stesen minyak.
Mercu tanda dalam imej tersebut menyerupai mercu tanda sebenar berwarna putih yang hanya memaparkan nama bandar itu dalam bahasa Melayu dan telah dipasang sejak 2009.
Dakwaan itu timbul selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MPI) berkata dalam kenyataan pada 15 Julai mercu tanda ikonik itu telah diturunkan untuk pemeriksaan dan akan dipasang semula pada Ogos, berserta beberapa keping gambar kren yang sedang menurunkan papan tanda tersebut (pautan arkib).
Sesetengah pengguna dilihat mempercayai bahawa imej yang tersebar itu adalah tulen. Seorang berkata, "Dalam Perlembagaan negara tak disebut pun bahasa Cina", manakala seorang lagi mengulas, "Slowly mereka menjajah."
Imej itu turut tersebar di Facebook dan TikTok, namun sebenarnya ia telah dimanipulasi.
Alat pengesan OpenAI juga mendapati imej itu dihasilkan menggunakan model syarikat gergasi teknologi tersebut (pautan arkib).
Kren dalam imej beredar itu juga berbeza daripada apa yang dilihat dalam gambar diterbitkan oleh MPI di laman webnya -- satu petunjuk bahawa imej itu telah dimanipulasi.
Perkataan pada kren itu hilang dan rupa bentuk kenderaan tersebut berbeza daripada gambar asal. Sesetengah huruf pada papan tanda di kawasan terbabit juga kelihatan tidak sempurna.
Carian kata kunci pada Google menemui kenyataan dimuat naik MPI di laman Facebook rasminya pada 22 Julai, yang menolak dakwaan tersebut (pautan arkib).
"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular menerusi sebuah hantaran dalam kumpulan Facebook 'Manjoi Manjoi Ajerr', kononnya terdapat tulisan dalam bahasa Cina dipasang bersama perkataan ikonik 'IPOH' di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar, Ipoh," katanya.
Tambah MPI, imej tersebar itu dipercayai telah dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan atau suntingan digital, serta menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebar berita palsu, termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
AFP sebelum ini telah menyangkal maklumat salah berkaitan kaum di negara ini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami