Foto Biden ini diambil sebelum dia menjadi presiden AS dan kanak-kanak dalam gambar itu bukan anak George Floyd

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 12/05/2021 pukul 08:00
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Perancis, AFP Malaysia
Sebuah gambar Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berlutut di hadapan seorang budak lelaki dikongsikan di pelbagai catatan Facebook bersama dengan dakwaan bahawa kanak-kanak itu ialah anak lelaki George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang mati dalam tahanan polis pada 25 Mei 2020, di Minneapolis, Minnesota. Dakwaan itu tidak benar. Foto itu diambil semasa kempen Biden, sebelum dia menjadi presiden AS, dan budak lelaki itu bukan anak Floyd.


Tangkapan skrin itu dimuat naikkan pada 14 April 2021, di Facebook di sini.

Keterangannya catatan yang mengelirukan itu menyatakan: “Police brutality - pampasan ini tak akan kembalikan George Floyd tetapi sekurang2 nya langkah di ambil Biden memohon maaf sekurang2 nya dpt memberi ketenangan kpd keluarga mendiang.” 

Teks bahasa Inggeris di tangkapan skrin itu berbunyi: “Kami mohon maaf - Kerajaan AS menganugerahkan keluarga George Floyd $ 27 juta dolar untuk kematian yang tidak kena pada masanya yang disebabkan oleh para pegawai polis satu kejadian yang mencetuskan demonstrasi di seluruh dunia.

“Presiden Joe Biden terpaksa berlutut di hadapan anak lelaki George Floyd untuk meminta pengampunan.”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook, diambil pada 11 Mei 2021

Kebangkitan semula foto itu berbetulan dengan perbicaraan kes Derek Chauvin, pegawai polis berkulit putih yang didakwa menyebabkan kematian Floyd pada 25 Mei 2020. Perbicaraan itu bermula di Minneapolis pada 29 Mac 2021. Chauvin didapati bersalah atas pembunuhan Floyd pada 20 April 2021. 

Pada 7 Mei 2021, Chauvin dan tiga bekas pegawai polis lain menghadapi tuduhan baru atas kematian Floyd, lapor AFP di sini.

Gambar itu juga dikongsi dengan dakwaan serupa di sini

Gambar yang sama juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Cina di sini dan sini, dan dalam bahasa Inggeris di sini dan sini.

Namun, dakwaan itu tak benar. 

Carian imej terbalik menemui foto ini, di laman sesawang agensi gambar Getty Images, yang diambil oleh jurugambar Chip Somodevilla pada bulan September 2020. 

Embed from Getty Images

“Sambil memakai pelitup muka untuk mengurangkan risiko dari koronavirus, calon presiden parti Demokrat Joe Biden melutut untuk berbual dengan C.J. Brown ketika membeli-belah di Three Thirteen, sebuah kedai pakaian di Avenue of Fashion di bandar Detroit, Michigan pada 9 September 2020. Biden sedang berkempen di Michigan, negeri yang dimenangi Presiden Donald Trump pada tahun 2016 dengan kurang daripada 11,000 undi, iaitu margin kemenangan yang paling kecil dalam sejarah pemilihan presiden di negeri itu.”

Biden mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2021, seperti dilaporkan AFP di sini.

Terdapat beberapa foto lain dari lawatan Biden ke kedai pakaian Three Thirteen itu pada masa yang sama, termasuk foto AFP ini yang diambil oleh jurugambar Jim Watson pada 9 September 2020.

“Calon presiden Parti Demokrat Joe Biden berbicara dengan CJ Brown (kanan), anak lelaki pemilik kedai pakaian, ketika dia membeli-belah untuk cucu-cucunya di kedai Three Thirteen di Detroit, Michigan, pada 9 September 2020,” kata keterangan foto AFP itu. 

Image
Tangkapan skrin foto lawatan Joe Biden ke Detroit di laman sesawang AFP Forum

Biden juga memuat naikkan gambar yang lain pada masa yang sama di laman Instagram rasminya di sini pada 15 September 2020.

Foto yang dikongsikan Biden itu pernah muncul di media sosial dengan dakwaan palsu bahawa beliau melutut untuk meminta maaf kepada anak perempuan Floyd. AFP telah membongkar dakwaan tak benar itu di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami

Artikel berkaitan