Video tular dakwa secara tidak sahih bahawa pandemik dipentaskan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video yang telah ditonton ribuan kali di Facebook dan Twitter mendakwa bahawa ia bukti bahawa pandemik ini adalah tipu helah semata-mata. Dakwaan itu tak benar. Video itu menampilkan pelbagai klip pendek yang telah diambil di luar konteks, dan sebenarnya menunjukkan peristiwa-peristiwa seperti tunjuk perasaan, video muzik dan pelbagai laporan berita. 

Video berdurasi dua minit satu saat itu dikongsikan pada 20 Mei 2021 di Twitter di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 570 kali. 

Ia memaparkan tujuh klip dan satu gambar yang menunjukkan pelbagai imej, dari orang yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelbagai beg badan ke sebuah hospital dan pengebumian.

Tangkapan skrin ciapan yang mengelirukan, diambil pada 24 Jun 2021

Kapsyennya menyatakan: “Saya tak sure sahih atau tidak. Tapi, apa mereka buat sebenarnte? Dokumentari ke ape? 

“Mayat boleh hidap rokok ke .. weh ape benda ni..” 

Rakaman itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini.

Video-video tersebut itu ditonton dan dikongsikan ribuan kali setelah muncul dalam catatan Facebook dengan dakwaan serupa di sini, sinisini dan sini

Video itu juga tersebar bersama-sama dakwaan serupa dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa Indonesia, bahasa Sepanyol dan bahasa Romania

Dakwaan itu tidak benar.

Menari dalam PPE: majlis perkahwinan di Israel  

Klip pertama menunjukkan orang ramai menari dalam PPE dan pakaian agama Yahudi. Menurut beberapa catatan mengelirukan, ini kononnya menunjukkan orang Yahudi meraikan kejayaan mereka dalam mementaskan wabak dan mengatur ibadah orang Islam.  

Carian imej terbalik di Yandex disusuli dengan carian kata kunci selanjutnya mendapati video ini disiarkan di Instagram media Israel Hamal News bertarikh 8 Julai 2020. 

Keterangan berbahasa Ibrani diterjemahkan sebagai: “Beberapa orang berpakaian hazmat tiba di sebuah majlis perkahwinan dalam ambulans, dan mula menari. Apa sebenarnya yang berlaku di sana?”

“Di bawah ini adalah respons dari Magen David Adom, perkhidmatan perubatan kecemasan yang memiliki ambulans tersebut, yang mengatakan bahawa kejadian itu ‘teruk’ dan hanya pemandu ambulans tersebut sahaja sebenarnya merupakan sebahagian daripada organisasi itu, dan yang lain mengambil pakaian hazmat dari kemudahan perubatan yang juga tidak berkaitan dengan MDA. Pemandu itu tidak bertugas waktu itu dan telah ditegur berhubung kejadian itu.”  

Magen David Adom ialah perkhidmatan perubatan kecemasan, ambulans dan perkhidmatan bank darah kebangsaan Israel. 

Perbandingan tangkapan skrin antara klip pertama dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Hamal News (kanan)

“Mayat” di jalanan: tunjuk perasaan di Amerika Syarikat

Gambar di video menunjukkan beg hitam berbaris di jalan, bersama dengan beruang teddy dan karangan bunga. Teks yang ditindihkan ke atas video berbunyi: “Ternyata sekumpulan kantongan berisi kain dan sampah seakan mayat yang bergelimpangan.” 

Foto itu mula-mula diterbitkan di laman web European Pressphoto Agency (EPA) pada 27 Mei 2020, dengan judul: “Perarakan pengebumian simbolik untuk membantah ekonomi dibuka semula tanpa bantuan Koronavirus di Miami.”

Kapsyennya berbunyi: “Seorang aktivis membawa beg-beg, yang mewakili mayat-mayat semasa pengebumian simbolik untuk membantah ekonomi dibuka semula tanpa bantuan Koronavirus di Torch of Friendship Park, di Downtown Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS), 27 Mei 2020.”

Perbandingan tangkapan skrin antara gambar dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto EPA (kanan)

AFP juga menerbitkan gambar yang menunjukkan tunjuk perasaan itu di sini pada 27 Mei 2020.

Paramedik: liputan kewartawanan

Dari gambar tunjuk perasaan, adegan seterusnya berubah menjadi klip dua orang berpakaian PPE berdiri di sebelah ambulans, nampaknya bergaya untuk jurugambar. Teks berbahasa Indonesia yang ditindihkan pada klip berbunyi: “Foto-foto dulu Om.”

Carian imej terbalik menemui ciapan ini yang menjelaskan bahawa klip itu menunjukkan seorang jurugambar untuk akhbar Belanda NRC mengambil gambar kakitangan ambulans. Laporan itu diterbitkan di sini pada 4 Mac 2021.

NRC mengikuti paramedik yang bekerja semasa waktu pandemik di Amsterdam. Wartawan itu memerihalkan bahawa dia menyaksikan seorang yang berada di tempat kejadian yang menjerit "berita palsu" semasa sesi foto ketika para paramedik sedang memakai PPE.

Perbandingan tangkapan skrin antara klip kedua dalam catatan mengelirukan (kiri) dan gambar yang diterbitkan di laporan NRC (kanan)

Lelaki yang merokok semasa diselubungi “beg badan”: video muzik

Rakaman ketiga menunjukkan seorang lelaki menghisap rokok ketika dia terbaring di atas timbunan beg hitam. Catatan itu mendakwa bahawa “mayat” di dalam beg-beg itu sebenarnya masih hidup.

Video ini sebenarnya menunjukkan rakaman di sebalik tabir dari penggambaran klip muzik untuk lagu “Never, Ever” oleh penyanyi rap Rusia, Husky, yang dikeluarkan pada bulan September 2020. Klip tersebut padan dengan rakaman ini yang dimuat naik di TikTok oleh pengarah pengeluaran video muzik, Vasya Ivanov.

Pengarah video muzik, Evgenii Bakirov menyatakan bahawa video itu menunjukkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga kebersihan dan membersihkan peristiwa-peristiwa perlawanan geng dan “adalah watak untuk perjuangan dalaman seorang artis yang sedang membersihkan dunia mentalnya”. Klip muzik itu tidak mempunyai rujukan kepada pandemik koronavirus.

Perbandingan tangkapan skrin antara klip ketiga dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video rakaman di sebalik tabir penyanyi rap Rusia, Husky (kanan)

Penggambaran di sebuah hospital: video promosi

Dalam adegan berikutnya, yang diulangi lagi dalam video yang mengelirukan itu, seorang jurugambar dan jurukamera kelihatan di dalam sebuah hospital, dikelilingi oleh katil hospital dan para pesakit. Seorang lelaki juga dilihat memberi arahan kepada kakitangan perubatan berpakaian PPE.

Teks yang ditindihkan ke atas rakaman tersebut mendakwa bahawa adegan-adegan hospital yang nampaknya penuh dengan para pesakit Covid-19 sebenarnya dipentaskan. Namun, AFP mendapati bahawa klip itu sebenarnya adalah iklan untuk Shamir Medical Center di Israel.

Video promosi itu disiarkan di sini di saluran YouTube hospital itu pada 26 Mac 2021. Diterjemahkan dari bahasa Ibrani ke bahasa Inggeris, video tersebut bertajuk: “Pusat Perubatan Shamir seperti yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam ringkasan fotografi tahun 2020: tahun koronavirus.”

Liad Aviel, jurucakap pusat perubatan itu di Tel Aviv, berkata bahawa klip itu padan dengan bilik-bilik hospital dan telah dirakam sebagai usaha untuk mempromosikan kemudahannya. 

Aviel berkata seorang pekerja hospital telah merakam kejadian itu dan mengongsikannya di Facebook. “Sayangnya, ia menjadi berita palsu, tetapi kami tidak ada hubungan dengannya,” katanya kepada AFP kepada 11 Mac 2021.

Perbandingan tangkapan skrin antara klip keempat dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video promosi Shamir Medical Center (kanan)

Beg badan: Penjagaan kesihatan Venezuela dan protes pelajar

Babak seterusnya menunjukkan klip pendek beg-beg badan hitam di luar sebuah bangunan, diikuti dengan klip lain yang menunjukkan orang ramai berdiri mengelilingi beg-beg hitam. Teks yang ditindihkan pada babak ini mendakwa bahawa orang ramai ini sedang bekerja untuk menyediakan “mayat”. 

Kedua-dua klip tersebut diambil di peristiwa-peristiwa lain di lokasi yang berbeza di ibu bandar Venezuela, Caracas, tetapi digabungkan untuk memberi tanggapan bahawa mereka menunjukkan kejadian yang sama.

Bahagian pertama babak itu padan dengan video ini yang dimuat naikkan oleh laman berita Venezuela yang dibuang negeri, ContraPoder di saluran YouTubenya pada 7 April 2021. Video ini juga disiarkan dalam laporan ContraPoder ini pada hari yang sama, yang menjelaskan bahawa ia menunjukkan mayat-mayat yang menunggu untuk diangkut oleh sebuah trak. 

Program berita digital dari Venezuela yang dibuang negeri, Hasta Que Caiga La Tirania menyiarkan video ini di saluran YouTubenya pada 7 April 2021, menunjukkan adegan-adegan yang padan dengan klip di catatan yang mengelirukan itu, yang dapat dilihat pada tanda 3:08. 

Menurut kedua-dua laporan media itu, video tersebut dirakam di daerah La Yaguara di Caracas, dan menunjukkan keruntuhan sistem penjagaan kesihatan di Venezuela, di mana bilik-bilik mayat dibanjiri oleh mayat pesakit Covid-19.

Perbandingan tangkapan skrin antara klip kelima dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video yang disiarkan di saluran YouTube ContraPoder (kanan)

Klip seterusnya menunjukkan para pelajar mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Hospital Universiti Caracas, lebih daripada 10 kilometer dari La Yaguara, pada 6 April 2021. 

Penunjuk perasaan memenuhi beg plastik hitam besar dengan kertas dan meletakkannya di hadapan hospital untuk melambangkan 430 pekerja penjagaan kesihatan yang telah meninggal dunia akibat Covid-19 ketika mereka membantah perkembangan yang lambat dalam pengedaran vaksin, seperti yang dilaporkan surat akhbar Venezuela, El Nacional pada 6 April 2021.

Tunjuk perasaan itu diliputi oleh wartawan Venezuela, Esteninf Olivarez, yang menyiarkan beberapa video di Twitter, termasuk video ini pada 6 April 2021, yang menyerupai klip yang mengelirukan.

Perbandingan tangkapan skrin antara klip keenam dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Olivarez (kanan)

Penggali kubur: laporan berita dari Brazil

Klip terakhir menunjukkan seorang lelaki dalam pakaian perlindungan menggali kubur ketika dirakam oleh jurukamera. Catatan itu mendakwa penggali kubur tersebut tidak menyelesaikan pengebumian itu kerana tidak pernah ada mangsa Covid-19.

Filem ini sebenarnya memperlihatkan para wartawan yang melapor tentang kerja penggali kubur semasa waktu pandemik di Espirito Santo, sebuah negeri di tenggara Brazil. Laporan itu disiarkan di Vimeo di sini oleh media Brazil, Folha Vitoria pada 31 Mac 2021. 

Wartawan di sebalik laporan itu, Marla Bermudes, menafikan bahawa klip tersebut menunjukkan pengebumian palsu, di sini pada 1 April 2021.

“Jurukamera Wilian O’brien dan saya sedang merakam imej-imej untuk menerangkan kerja para penggali kubur dan aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan,” katanya. “Laporan itu bertujuan untuk memberi penghormatan kepada pekerjaan para profesional ini dan tidak [memberi gambaran] bahawa penggali kubur tersebut mensimulasikan pembukaan kubur atau berpura-pura mengebumikan seseorang.”

“Liang lahad itu terbuka dan bukan atas permintaan pasukan kami. Itu sudah menjadi prosedur tanah perkuburan. Imej-imej yang ditunjukkan pada masa yang tepat ketika dia membuang tanah, merupakan imej-imej sokongan untuk menggambarkan aktiviti-aktiviti yang dijalankannya.”

Perbandingan tangkapan skrin antara klip ketujuh dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan Folha Vitoria (kanan)

Rede Vitoria, kumpulan komunikasi yang mewakili Folha Vitoria, menyatakan di sini pada 2 April 2021: “Untuk menyiapkan laporan itu, wartawan kami merekodkan kerja langkah demi langkah [para penggali kubur]. Video [mengelirukan] yang dirakam tidak mengikut konteks masa ini, memutarbelitkan fakta dan mencipta naratif dusta”.

Terjemahan dan adaptasi
COVID-19